Members Login
Username 
 
Password 
    Remember Me  
Post Info TOPIC: Asal Usul Kejadian Manusia...


Super Member

Status: Offline
Posts: 701
Date:
Asal Usul Kejadian Manusia...



"APAKAH Engkau akan menjadikan manusia yang akan melakukan kerosakan
dan pertumpahan darah di dalamnya, sedangkan kami sentiasa bertasbih
dan menyucikan Engkau," demikian pertanyaan malaikat kepada Allah
kerana terkejut dengan pengisytiharan-Nya yang mahu menciptakan Adam
dan keturunannya sebagai khalifah di bumi.

Namun, selepas itu malaikat akur keputusan itu.

Kemudian Adam diciptakan, iaitu daripada tanah kering yang berasal
daripada lumpur hitam. Daripada tanah, Allah menjadikan Adam
berperingkat, kemudian meniupkan roh ke tubuhnya.

Akhirnya sempurnalah kejadian Adam sebagai manusia, merangkumi otak,
darah dan daging, bebas bergerak dan bertindak mengikut kehendak dan
akal fikiran.

Apabila penciptaan Adam sempurna, Allah memerintahkan semua malaikat
sujud kepadanya sebagai memulia dan menghormatinya.

Perkara ini dapat dilihat melalui ayat 28 hingga 29 surah Yusuf,
maksudnya: "Dan (ingatlah) ketika Tuhan-Mu berfirman kepada
malaikat; sesungguhnya Aku akan menciptakan seorang manusia daripada
tanah liat kering, daripada lumpur hitam yang diberi bentuk. Apabila
Aku menyempurnakan kejadiannya dan meniupkan kepadanya roh (ciptaan)
Ku, tunduklah kamu kepadanya dengan bersujud."

Selepas itu Allah mengajarkan kepada Adam segala nama, yang menjadi
asas ilmu pengetahuan sebagai bekalan hidup di bumi. Apabila Adam
mendapat ilmu, Allah memperlihatkannya kepada malaikat, dia memiliki
darjat yang tinggi dari segi ilmu berbanding malaikat.

Lalu malaikat berkata: "Sungguh kami menyucikan Engkau wahai Tuhan
kami, kerana kami tidak mengetahui melainkan yang telah Engkau
ajarkan kepada kami dan Engkau Maha Mengetahui segalanya, Maha
Bijaksana dalam segala urusan yang Engkau ciptakan."

Perkara ini dapat dilihat melalui surah al-Baqarah, ayat 31 hingga
33. Semua malaikat akur dengan perintah Allah dan sujud kepada Adam.
Bagaimanapun, iblis dengan angkuh dan sombong enggan berbuat
demikian.

Iblis memberikan jawapan kepada Allah kononnya dia lebih mulia
daripada Adam. Menurut iblis, dia diciptakan daripada api, manakala
Adam daripada tanah. Justeru, iblis menyangka dirinya lebih
bermaruah dan mempunyai kedudukan tinggi daripada Adam. Melihat
gelagat iblis yang bongkak itu, Allah melaknat iblis dan
mengusirkannya dari syurga untuk selama-lamanya.

Hukuman itu menyebabkan iblis berdendam dengan Adam, lalu ia
menyatakan permohonan kepada Allah supaya dipanjangkan usia sehingga
hari kiamat. Iblis juga bersumpah untuk menyesatkan anak cucu Adam
dari jalan yang benar, dengan mendatangi mereka (manusia) dari
setiap penjuru untuk mengawasi kelemahan dan kecuaian mereka,
sehingga mengheret ke lembah kesesatan dan derhaka kepada Allah.

Permohonan itu dikabulkan, namun Allah turut mengutuk iblis, melalui
firmanNya: "Keluarlah kamu dari syurga ini dengan keadaan yang hina,
kamu tidak akan mendapat rahmat-Ku dan Aku bersumpah akan memenuhi
jahanam dengan kamu sekalian dan orang yang mengikutimu."

Selepas iblis diusir dari syurga, Adam tinggal keseorangan dan pada
satu ketika dia terlena. Ketika itu, Jibril mencabut tulang rusuknya
di sebelah kiri, dibentukkannya menjadi daging dan tulang,
seterusnya terciptalah Hawa, sebagai isteri. Perkara ini dinyatakan
dalam surah al-Nisa, ayat 1.

Adam dan Hawa tinggal di syurga dengan segala kenikmatan. Namun,
Allah melarang mereka dari mendekati sejenis pokok sekali gus
menegah memakan buahnya. Mereka diberi amaran, jika melanggar
larangan itu, mereka termasuk golongan yang zalim dan akan mendapat
balasan daripada Allah.

Bagaimanapun, larangan itu tidak dipatuhi. Kemudian, semua pakaian
dan perhiasan di syurga yang dipakai mereka terlepas, dengan tiada
satu pun tertinggal, melainkan mahkota.

Sambil menangis, Adam menoleh kepada Hawa, lalu
berkata: "Persiapkanlah dirimu untuk keluar dari sisi Allah. Inilah
permulaan munculnya maksiat."

Hawa menjawab: "Wahai Adam! Aku tidak pernah menyangka ada makhluk
berani bersumpah palsu kepada Allah."

Di syurga Adam sentiasa berlari kerana malu kepada Allah, sehingga
Adam mengira azab Allah dipercepatkan, lalu dia menundukkan kepala
dan berkata: "Ampun! Ampun."

Lalu Allah berfirman: "Wahai Adam, adakah kamu melarikan diri dari-
Ku?" Adam menjawab: "Tidak, tetapi aku malu kepada Engkau wahai
Tuhan!"

Kemudian Allah mewahyukan kepada dua malaikat, supaya mengeluarkan
Adam dan Hawa dari sisi-Nya, kerana telah menderhakai-Nya. Tanpa
berlengah, Jibril melepaskan mahkota di kepala Adam, manakala Mikail
mencabut mahkota di keningnya.

Selepas diturunkan dari tempat suci ke tempat yang penuh kelaparan,
Adam menangisi kesalahannya selama seratus tahun. Dia sentiasa
menundukkan kepala di atas kedua-dua lututnya, sehingga titisan air
matanya membasahi bumi, menumbuhkan rumput dan pokok.

Wahab bin Munabbih menceritakan, Nabi Adam berada dalam kemurkaan
Allah selama tujuh hari. Pada hari ketujuh Allah memanggilnya,
kemudian memberikan wahyu kepadanya: "Wahai Adam, kesedihan apakah
yang Aku lihat menimpamu hari ini? Bencana apakah menimpamu sehingga
menyebabkanmu hanyut?"

Adam berkata: "Sungguh besar musibah, wahai Tuhan. Aku diliputi
kesalahanku sendiri dan aku keluar dari kerajaan Tuhanku, sehingga
aku berada di tempat kehinaan, sebelumnya aku berada dalam
kemuliaan.

"Aku berada di tempat celaka, sebelumnya aku dalam kebahagiaan. Aku
berada di tempat sukar, sebelumnya aku dalam kemewahan. Aku di
tempat bencana, sebelumnya aku dalam keselamatan.

"Aku sekarang berada di tempat yang akn musnah setelah berada dalam
ketenangan. Aku sekarang berada di tempat yang hancur setelah berada
di tempat kekal abadi dan aku sekarang berada di tempat yang penuh
penipuan setelah berada dalam keamanan. Tuhanku, tentu saja aku
menangisi kesalahanku? Bagaimana mungkin aku tidak meratapi diriku
sendiri?" Allah berfirman kepada Adam: "Bukankah Aku telah memilihmu
untuk diri-Ku? Aku telah menghalalkan rumah-Ku untuk dirimu, Aku
memilihmu atas semua makhluk-Ku, Aku mengkhususkan keramat-Ku
terhadap dirimu, Aku mencurahkan kecintaan-Ku terhadap dirimu, Aku
memberi peringatan kepadamu akan kemurkaan-Ku?

Bukankah Aku menciptakanmu sendiri, Aku telah meniupkan nyawa ke
dalam tubuhmu, Aku memerintahkan malaikat supaya sujud dan bukankah
Aku menjadikanmu sebagai pendamping-Ku di syurga-Ku.

Kamu menggunakan keramat-Ku sekehendakmu sendiri, sehingga kamu
telah menderhakai perintah-Ku, kamu telah melupakan janji-Ku dan
mensia-siakan wasiat-Ku? Bagaimana sekarang kamu akan memungkiri
seksaan-Ku?

Demi kemuliaan dan keagungan-Ku, seandainya bumi ini penuh dengan
orang seperti kamu, di mana (mereka) sentiasa bertasbih malam dan
siang tiada hentinya. Kemudian mereka menderhakai Aku. Aku akan
memberikan tempat kepada mereka seperti tempat orang yang derhaka.

Sesungguhnya Aku mengasihani kelemahanmu, mengangkatmu dari
kejatuhan, menerima taubatmu, mendengar permohonanmu yang tulus dan
Aku mengampuni dosamu."

Lalu disuruh-Nya Adam berkata: "Tiada Tuhan selain Engkau, Maha Suci
Engkau ya Allah dengan segala puji-Mu, aku telah menganiaya diriku
sendiri dan aku melakukan kejahatan, terimalah taubatku.
Sesungguhnya, Engkau Yang Maha Penerima taubat lagi Maha Pengasih."

Kemudian Allah mengirimkan kepada Adam sebuah khemah dan
diletakkannya di tempat berdirinya Kaabah (sebelum Kaabah itu
sendiri diciptakan). Di sanalah Adam tinggal dan seterusnya
mengembangkan keturunannya...


__________________
Sayang..Jangan ditanya sebanyak mana pengorbanan yang telah aku lakukan.... Kerana aku sendiri tidak pernah mengiranya... Tetapi, Seandai pengorbanan itu tak dihargai... Perlukah aku berkorban lagi sayang????
Page 1 of 1  sorted by
 
Quick Reply

Please log in to post quick replies.

Tweet this page Post to Digg Post to Del.icio.us


Create your own FREE Forum
Report Abuse
Powered by ActiveBoard