Apakah tujuan diciptakan sudu? Apakah tujuan diciptakan pen? Pasti jawapan yang kita dapat akan menjurus kepada sudu untuk suap makanan dan pen untuk menulis. Begitulah juga apabila kita mengajukan soalan apa tujuan diciptakan kasut, baju, seluar, buku dan bermacam lagi, pasti akan ketemu jawapan tujuan setiap benda itu diciptakan. Ianya soalan yang hatta adik kita yang kecil-kecil mampu menjawab, tidak sukar. Apakah pandangan kita terhadap sesuatu barang yang diciptakan tanpa tujuan? Pasti kita akan pandang ia tak berguna dan kejadiannya adalah sia-sia.
Namun dapatkah kita memberi jawapan dengan satu lafaz mudah andai kita ditanya, apakah tujuan kita diciptakan? Jika setiap benda yang manusia cipta mempunyai tujuan untuk dipenuhi pasti kita sebagai makhluk yang begitu kreatif dan inovatif mencipta kemudahan-kemudahan juga mempunyai tujuan diciptakan. Malahan kita patut malu pada kasut, selipar, atau sudu andai kita tak mengerti dan tidak memenuhi tujuan kita diciptakan.
Sebagai Muslim, tujuan penciptaan kita di atas muka bumi ini telah diterangkan di dalam panduan orang Islam iaitu al-Quran dan kehidupan Nabi Muhammad shalallahu alaihi wasallam. Di dalam al-Quran Allah berfirman yang bermaksud:
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan Jin dan manusia melainkan untuk menyembah dan beribadat padaku. [Adz-Dzaariyaat 51:56]
Kebanyakkan dari umat Islam mungkin akan mengeluarkan kenyataan tersebut. Tujuan diciptakan adalah untuk beribadat pada Allah. Namun adakah skop penciptaan kita hanya tertumpu pada beribadat mengabdikan diri pada Allah sahaja? Apakah sokongan kepada kepada konsep tersebut? Saya percaya pemangkin kepada tujuan diciptakan tadi adalah firman Allah yang berikut yang bermaksud:
Kemudian Dia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan kepadanya: roh ciptaan-Nya. Dan Dia mengurniakan kepadamu pendengaran, penglihatan serta hati (akal fikiran); (supaya kamu bersyukur, tetapi) amat sedikit kamu bersyukur. [As-Sajadah 32:9]
Boleh disimpulkan tujuan paling penting diciptakan manusia adalah untuk mengabdikan diri pada Allah dengan ibadat-ibadat baik umum atau khusus dan untuk bersyukur atau berterima kasih pada Allah. Keduanya perlu saling wujud dalam diri seorang Muslim dalam memenuhi tujuan dia diciptakan.
Bagaimanakah kita berterima kasih pada Pencipta kita? Adakah memadai dengan ucapan terima kasih atau syukur kepada Allah? Contohnya, andai kita ingin sampaikan rasa terima kasih pada ayah kita atau ibu kita atau sesiapa sahaja, tidaklah meninggalkan kesan jika sekadar hanya kita ucapkan terima kasih. Ucapan perlu disusuli dengan perbuatan-perbuatan yang menggembirakan orang yang ingin kita berterima kasih. Adalah janggal dan tidak diterima akal sekiranya kita mengucapkan terima kasih ayah tetapi pada masa yang sama kita calarkan keretanya atau pecahkan barang kesayangannya. Begitu juga dalam kita berterima kasih kepada Allah. Apakah makna terima kasih di bibir kita andai kita terus melakukan kerosakan di muka bumi. Orang yang bersyukur tidak akan meninggalkan suruhan Tuhannya dan meninggalkan perbuatan-perbuatan yang membuatkan Tuhannya murka. Inilah sebabnya saya mengatakan konsep bersyukur dan beribadat adalah seiringan. Beribadat merupakan manifestasi syukur dan syukur adalah pimpinan ke arah ibadat yang mantap. Sudahkah kita mememenuhi tujuan kita diciptakan? Jika belum tidakkah kita malu pada selipar kita yang lebih memenuhi tujuan ianya diciptakan?
Tujuan vs Tujuan
Mungkin sesetengah orang merasakan tak perlunya diikuti tujuan yang telah diterangkan al-Quran dan hidup Nabi Muhammad shallahu alaihi wasallam kerana kita sudah cukup pintar untuk meneka tujuan kita diciptakan. Mengapa saya guna perkataan meneka? Kerana akal manusia ini terlalu cetek, kita tidak dapat memastikan apa akan terjadi esok hatta satu jam berikutnya pun, kita tak dapat melihat zarah-zarah pun tanpa bantuan (alatan dan sebagainya). Kita perlukan bantuan panduan dan panduan paling agung adalah dari Pencipta kita. Pembuat kereta pastinya lebih tahu apa yang terbaik buat kereta ciptaannya.
Kita mungkin merasa kejayaan tujuan kita hidup adalah untuk dengan menjadi kaya raya, menjadi orang terpintar, menjadi terkenal dan sebagainya. Tapi ke manakah akhirnya semua itu? Ramai yang kaya raya tetapi rumahtangga bergolak, sangat terkenal tetapi akhirnya hidup kucar kacir, tak tenang. Bolehkah dinamakan semua itu kejayaan? Kejayaan dalam menepati tujuan kita diciptakan adalah dengan kita berjaya melaksanakan ibadat dan sentiasa berterima kasih pada Pencipta kita. Kerana setiap matlamat hidup yang tanpa mengetahui tujuan sebenar kita diciptakan akan tersasar. Samalah seperti sudu untuk suap makanan kita gunakan untuk menulis artikel, akhirnya berpusing sekitar rasa mengapa semua serba tak kena.
Dan Dialah jua yang mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur; tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur. [al-Muminun 23:78]
Katakanlah: "Dia-lah Yang menciptakan kamu dan menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati". (Tetapi) amat sedikit kamu bersyukur. [al-Mulk 67:23]
Wallahualam bisawab
__________________
Sayang..Jangan ditanya sebanyak mana pengorbanan yang telah aku lakukan.... Kerana aku sendiri tidak pernah mengiranya... Tetapi, Seandai pengorbanan itu tak dihargai... Perlukah aku berkorban lagi sayang????