Asas pembinaan dalam Islam ialah al-Quran dan as-Sunnah. Kedua-dua sumber terpenting ini mesti diletakkan di hadapan dan dijadikan rujukan kerana al-Quran adalah dari Allah SWT, manakala as-Sunnah Sohihah pula bersandarkan persabdaan nabi SAW yang dibimbing wahyu Allah.
Kefahaman yang betul tentang al-Quran dapat diperolehi menerusi Manhaj Tafsir yang digariskan ulamak berdasarkan ciri-ciri dan syarat-syarat yang ditentukan. Antaranya, meletakkan Tafsir Bil-Matsur (Tafsir berdasarkan hadis dan riwayat) sebagai asas Tafsir, disusuli dengan Tafsir Bil rayi yang selari dengan kehendak syara.
Penguasaan dalam bidang Usul Hadis dan pengajian hadis amat mustahak bagi memahami Tafsir Bil-Masur. Tanpa pengetahuan mendalam dalam bidang hadis amat sukar bagi seseorang itu memahami Tafsir Bil-Masur.
Israiliyyat adalah isu yang berkait rapat dengan Tafsir Bil Masur kerana ia berkembang melalui periwayatan. Kewujudannya di celah-celah tafsiran al-Quran boleh menimbulkan bahaya tanpa disedari khususnya Israiliyyat yang bersifat merosakkan aqidah seseorang. Dalam banyak hal ia boleh menghalang seseorang dari memahami dan menghayati al-Quran.
Isu Israiliyyat perlu ditangani menerusi pemahaman yang betul tentang zat Israiliyyat itu sendiri, pembahagiannya serta cara atau pun kaedah bagi mengenal pasti atau mengenal Israiliyyat. Untuk tujuan itu, kertas ini dikemukakan.
Pengenalan :
Pengenalan Israiliyyat sebagaimana yang dinyatakan oleh Doktor Muhammad Husin az-Zahabi rahimahullah: lafaz Israiliyyaat- pada zahir adalah lafaz yang jama, lafaz mufradnya Israiliyyat. Ia adalah kisah atau peristiwa yang dinukilkan dari sumber Israiliyyi dinisbahkan kepada Israiliyyat iaitu Nabi Yaqub bin Ishak bin Ibrahim. Kepadanyalah dinisbahkan bangsa Yahudi, lalu dikatakan Bani Israil (Az-zahabi , Doktor Muhammad Husin, al-Israiliyyaat dalam Tafsir dan Hadis, muka surat 19)
Menurut Doktor Zahabi ulamak tafsir dan hadis telah memperluaskan pengertian Israiliyyat daripada hanya berkisar tentang cerita yang bersumberkan Yahudi kepada apa jua yang dianggap tidak berasas samada ia berbentuk dongeng dahulu kala ( sebahagian ulamak melabelkannya ) yang boleh jadi asalnya adalah dari sumber Yahudi atau Nasrani atau sumber-sumber lain (Ibid., muka surat 19-20). Oleh kerana kebanyakan cerita yang diterima bersumberkan sumber Yahudi, maka lafaz Israiliyyat lebih sesuai digunakan.
Pengenalan atau definisi Israiliyyat yang dikemukakan oleh Doktor Zahabi amat penting kerana beliau dikira tokoh utama yang membincangkan persoalan berkaitan Israiliyyaat. Sehigga hari ini, saya tidak mendapati seseorang pun yang menulis atau membahaskan isu Israiliyyat melainkan ia terpaksa merujuk kepada tulisan dan pandangan Doktor Zahabi ( lihat: Doktor Ahmad Najib bin Abdullah. Tesis Ph.D muka surat 16-18.Universiti Islam Madinah)
Perkembangan ringkas Israiliyyat : (lihat, al-Israiliyyaat dalam Tafsir dan Hadis, muka surat 22-38)
Menurut sejarah, orang-orang Yahudi telah pun menetap bersama dengan orang-orang Arab sejak zaman sebelum Islam. Mereka memiliki ilmu pengetahuan yang diambil dari ajaran Kitab Taurat dan buku-buku ugama mereka yang lain. Orang-orang Arab sering kali bertanya orang-orang Yahudi tentang perkara-perkara yang berhubung sejarah lama berkenaan tokoh, peristiwa dan cerita tertentu.
Sebahagian sahabat nabi seperti Abu Hurairah dan Abu Abbas r.a ada bertanya ahli kitab Yahudi yang memeluk Islam tentang beberapa perincian cerita terdahulu (Ibid, muka surat 66. 1/70. Ibnu kasir, ,1/17...) tetapi pertanyaan mereka adalah terhad kepada aspek-aspek tertentu, tidak termasuk persoalan akidah. Mereka melakukan demikian kerana mereka faham keharusan yang diberikan nabi SAW dalam meriwayatkan cerita Israiliyyat.
Di zaman tabiin, proses periwayatan Israiliyyat menjadi lebih aktif disebabkan kecenderungan masyarakat mendengar cerita-cerita yang agak luar biasa.
Apabila datangnya tabi tabiiin periwayatan menjadi lebih serius dengan munculnya golongan (al-Qassas) iaitu penyampai cerita yang tidak bertanggungjawab.
Era pembukuan karya Islam kemudiannya menyaksikan bagaimana tafsir al-Quran termuat dicelah-celah tajuk kitab-kitab hadis sebelum ia terpisah dan dapat menentukan kedudukannya sendiri.
Pada peringkat awalnya, tafsir al-Quran dipersembahkan dengan lengkap bersanad kemudiannya sanad-sanad yang menghiasi matan-matan riwayat dibuang dengan tujuan untuk meringkaskan dan meringankan saiz kitab-kitab tafsir yang penuh sarat dengan muatan rangkaian perawi itu.
Justeru terbuangnya sanad, maka riwayat-riwayat tafsir mula menempuh keadaan yang amat sukar dan bermasaalah di mana tidak dapat dipastikan lagi riwayat yang boleh diterima dan riwayat yang tidak boleh diterima. Dari timbunan riwayat inilah terdapat Israiliyyaat yang akhirnya melengkapi sebahagian besar tafsiran ayat-ayat al-Quran. Ini berlaku bukan sahaja kepada kitab-kitab Tafsir Bil Matsur bahkan menular kepada kitab-kitab Tafsir Birrayi dengan kadar yang berbeza.
Pembahagian Israiliyyat :
Apabila disebut Israiliyyat pada kebiasaanya ia merujuk kepada riwayat-riwayat Israiliyyat yang bersifat negatif atau yang sukar diterima isinya.
Merujuk kepada pembahagian ulamak antaranya Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah ( Ibnu Taimiyyah,Muqaddimah dalam Usul Tafsir, muka surat 100) Israiliyyat dapat dibahagikan kepada tiga bahagian:
Pertama: Israiliyyat yang selari dengan apa yang ada di dalam sumber Islam, al-Quran dan as-Sunnah as-Sohihah. Contohnya: riwayat yang menyebut rakan seperjalanan Nabi Musa a.s ialah Khidir.
Kedua: Israiliyyat yang bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah as-Sohihah. Contohnya: cerita malaikat Harut dan Marut yang terlibat dengan dosa besar. Minum arak, berzina dan membunuh.
Ketiga: Israiliyyat yang tidak dapat dipastikan statusnya (maskut anhu). Contohnya, riwayat-riwayat yang menyebut bahagian anggota lembu yang diambil untuk memukul si mati dalam kisah bani Israil.
Hukum meriwayatkan Israiliyyat :
Terdapat dua pandangan ulamak dalam masalah ini.
Pandangan pertama: Tidak harus meriwayatkan Israiliyyat. Antara dalil mereka, hadis nabi S.A.W
,
Maksudnya: Janganlah kamu mempercayai Ahli Kitab dan janganlah pula mendustai mereka, katakanlah kami beriman kepada Allah dan kepada kitab yang diturunkan kepada kami... (Al-Bukhari, Sohih Bukhari, hadis nombar 4485)
Hadis ini melarang orang orang Islam menaruh kepercayaan kepada cerita-cerita Ahli Kitab berkenaan Kitab Taurat dan sebagainya (Az-Zahbi, al-Israiliyyat dalam Tafsir dan hadis, muka surat 55-56).
Pandangan kedua: Harus meriwayatkan Israiliyyat. Antara dalil mereka, hadis nabi S.A.W:
, , .
Maksudnya; Sampaikanlah daripadaku sekalipun satu ayat, riwayatkanlah daripada Bani Israil, tiada salahnya. Sesiapa melakukan pendustaan terhadapku dengan sengaja, maka hendaklah ia menyiapkan tempatnya dalam neraka (Bukhari, Sohih al-Bukhari, Hadis Nombar 3461)
Kedua-dua pandangan ini mempunyai dalil dan hajat masing-masing tetapi setelah dibuat penelitian, kedua-dua pandangan tersebut dapat disesuaikan mengikut pertimbangan berikut:
1. Al-Quran sendiri banyak menceritakan cerita-cerita Bani Israil dan cerita-cerita tentang umat terdahulu. Ia juga mengisyaratkan keharusan merujuk kepada Ahli Kitab.
2. Nabi S.A.W pula ada menceritakan tentang cerita Bani Israil seperti A-Abros, Al-Ama, Al-Akro dan cerita A-Ghor.
3. Hadis Nabi S.A.W yang mengharuskan periwayatan Israiliyyaat tidak bermaksud bahawa keharusan itu adalah mutlak. Ia terikat kepada apa yang baik.
-- Edited by Amirshah at 22:40, 2007-12-20
-- Edited by Amirshah at 22:41, 2007-12-20
__________________
Sayang..Jangan ditanya sebanyak mana pengorbanan yang telah aku lakukan.... Kerana aku sendiri tidak pernah mengiranya... Tetapi, Seandai pengorbanan itu tak dihargai... Perlukah aku berkorban lagi sayang????