Teringat saya pengalaman lebih kurang setahun lalu sewaktu melawat sebuah gereja di Petaling Jaya bersama rakan-rakan dari Yayasan Islamic Information Services (IIS). Lawatan kami pada hari Ahad memberi peluang kami melihat sendiri bagaimana ibadah mass yang dilakukan pada setiap hari Ahad dilaksanakan. Pengalaman mengikuti upacara mass dan melawat sekitar gereja bukanlah perkara utama hendak saya kongsi di sini. Mungkin banyak perkara menarik dan boleh dijadikan iktibar oleh umat Islam untuk mencontohi beberapa sikap penganut Kristian yang lebih menepati akhlak Islam berbanding yang menggelar diri Muslim, tetapi mungkin akan dikongsi di lain masa.
Apa yang tertarik untuk saya kongsi adalah pengalaman para pelawat dari IIS bersoal jawab dengan Father di gereja tersebut. Father tersebut melayan kami dengan baik dan sudi menjawab soalan-soalan kami dan tentunya kami sangat berterima kasih. Kami dibawa ke sebuah dewan kecil untuk sesi soal jawab. Saya duduk di hadapan sekali. Saya tidak bercadang melontar sebarang soalan kerana terasa hendak menjadi sekadar pemerhati.
Fatheradakah upacara mass yang kami lihat tadi pernah dilakukan oleh Jesus Christ? Satu suara kedengaran dari kiri saya. Soalan yang memang saya terasa hendak bertanya, nampaknya ada perserta yang mempunyai keraguan yang sama seperti saya. Saya menyangka tentunya ibadat mereka itu diajarkan Jesus Christ kepada desciplesnya.
Dari penjelasan Father Philips apa yang saya faham adalah upacara tersebut mula diperkenalkan oleh Early Church dan Jesus Christ sememangnya tidak pernah mensyariatkan upacara tersebut. Di situ nampaknya ada perbezaan dengan Islam dimana di dalam Islam, segala bentuk ibadah khusus adalah adalah diajar oleh Rasulullah shallallahu alaihi wasallam. Umat Islam jelas bahawa ganjaran untuk sesuatu ibadah itu adalah daripada Allah Subhanu wa Taala. Sesuatu yang kami (Muslim) sangka Allah Subhanu wa Taala suka boleh jadi sebaliknya. Diluar kemampuan kami sebagai manusia untuk menentukan samada suatu ritual itu disukai Allah Subhanu wa Taala atau tidak, jadi kami perlu bersandarkan kepada sumber-sumber wahyu iaitu al-Quran dan as-Sunnah yang sahih dengan pemahaman generasi awal sebagai jaminan. Tidak perlu difikirkan apa-apa ritual baru kerana kami pasti Allah Subhana wa Taala telah menyampaikan segala ritual yang baik dan tidak mungkin Dia terlupa. Membuat ritual baru dengan sangkaan ia baik pada kami seperti menyatakan bahawa Allah Subhana wa Taala belum menyempurnakan wahyunya tentang apakah ritual yang akan menggamit keredhaan-Nya.
Tulisan ini sekadar perbandingan, perbandingan tidak semestinya bertujuan merendah-rendahkan salah satu subjek perbandingan. Ianya sekadar menjelaskan sesuatu dari sudut pandangan saya. Pembaca tidak semestinya bersetuju dengan saya tetapi sekurang-kurangnya perbandingan ini harapnya akan membuatkan kita lebih toleransi kerana kita lebih memahami.
Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu [al-Maidah 5:3]
__________________
Sayang..Jangan ditanya sebanyak mana pengorbanan yang telah aku lakukan.... Kerana aku sendiri tidak pernah mengiranya... Tetapi, Seandai pengorbanan itu tak dihargai... Perlukah aku berkorban lagi sayang????