Berikutan dengan ancaman penggodam untuk menggodam laman web kerajaan pada hari ini khamis jam 3.30 pagi tadi tidak berjaya kerana server laman web kerajaan ditutup (lihat gambar di bawah).

Resigzed ImageKlik Di Sini Untuk Zoom


Artikel dari myMetro dan bharian:
 
Tiada kesan diceroboh
KUALA LUMPUR: Portal malaysia.gov.my tidak menunjukkan sebarang kesan pencerobohan seperti yang didakwa oleh kumpulan penggodam antarabangsa menggelarkan diri sebagai `Anonymous kononnya akan bertindak menggodam laman berkenaan pada jam 3.30 pagi tadi.

Sehingga jam 4.30 pagi tadi, laman berkenaan dilihat tidak mempunyai sebarang perubahan hingga menimbulkan tanda tanya sama ada Anonymous gagal atau berjaya tetapi dapat diatasi pengendali portal malaysia.gov.my.

Sebaliknya, kira-kira 30 laman web tempatan didakwa digodam oleh pihak tertentu disyaki penggodam tempatan yang terikut-ikut dengan ancaman Anonymous.

Antara web yang dikatakan digodam dengan menggantikan laman dengan nota amaran dan gangguan atau DDoS atau penafian perkhidmatan terhadap laman termasuk penang.uitm.edu.my dan tourmalaysia.com.my, manakala beberapa laman web seperti krustudios.com dan sabahtourism.com yang didakwa digodam Anonymous dan mengalami kebocoran menyebabkan ditutup oleh pengendali web masing-masing.

Pemantauan myMetro terhadap kebanyakan portal menggunakan domain .gov.my tidak dapat diakses, tetapi tidak diketahui sama ada berpunca daripada serangan DDoS atau pengendalinya bertindak menutup sementara laman berkenaan.

Ancaman godaman laman web malaysia.gov.my adalah cetusan tindak balas pengguna internet berikutan tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) meminta para penyedia internet tempatan untuk menghalang akses kepada lebih 10 halaman perkongsian fail yang popular dengan alasan perkongsian fail berhak cipta dan melanggar akta hak cipta. tempatan.

10 halaman yang terlibat adalah Warez-BB.org, ThePirateBay, Movie2k, MegaVideo, PutLocker, DepositFiles, DuckLoad, FileServe, FilesTube dan MegaUpload.

Tindakan menyekat laman web seperti The Pirate Bay dan WikiLeaks tidak boleh dimaafkan...ia sama seperti menafikan hak asasi manusia, dakwa rakaman suara yang tersebar di laman Youtube sejak beberapa hari lalu.

Kumpulan sama dikatakan turut bertanggungjawab menggodam laman web Play Station Network, Mastercard dan Visa malah pernah menceroboh masuk laman web kerajaan seperti Amerika Syarikat, Britain dan Australia.

Minggu lalu Anonymous melancarkan serangan DDoS terhadap laman kerajaan Turki sehingga membawa kepada penahanan 32 suspek yang dipercayai anggota kumpulan itu.

Sementara itu, menurut kenyataan yang dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), pihaknya sedang bekerjasama dengan beberapa agensi kerajaan untuk merangka langkah keselamatan bagi menghadapi sebarang kemungkinan serangan berkenaan.

Sebelum ini laman sesawang kerajaan pernah digodam namun proses pemulihan berjaya dilaksanakan dengan kadar segera berikutan terdapat prosedur tertentu yang sudah dikenal pasti, kata kenyataan itu. - myMetro
 
PUTRAJAYA: Sekurang-kurangnya 10 laman web agensi kerajaan, termasuk Jabatan Pengajian Politeknik di Kementerian Pengajian Tinggi, Tourism Sabah dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah digodam penyerang siber pagi semalam, bagaimanapun berjaya dipatahkan dan dipulihkan menjelang petang. Berikutan serangan itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengarahkan semua agensi kerajaan supaya bersiap sedia dan mempertingkatkan keselamatan laman web masing-masing bagi tempoh 36 jam akan datang.

Amaran itu dikeluarkan berikutan ancaman sekumpulan penggodam antarabangsa menggelar diri mereka 'Anonymous', yang mahu menyerang portal kerajaan, www.malaysia.gov.my melalui 'Operation Malaysia' pada jam 3.30 pagi ini dengan alasan kerajaan mengenakan tapisan terhadap internet dan menyekat 10 laman perkongsian fail.

Difahamkan, laman web Tourism Sabah, UiTM Sabah dan Jabatan Pengajian Politeknik digodam pada jam 10 pagi dan kembali pulih selepas jam 3 petang semalam.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab, berkata semua cubaan menggodam itu berjaya dipatahkan berikutan arahan berjaga-jaga yang dikeluarkan kepada semua agensi sejak kelmarin, selain persiapan awal yang dibuat untuk menghadapinya.
"Bagaimanapun, tempoh ancaman belum berakhir, jadi kita mahu semua agensi kerajaan terus mempertingkatkan keselamatan laman web masing-masing bagi tempoh 24 hingga 36 jam ini," katanya ketika dihubungi, semalam.

Ditanya sama ada kerajaan bercadang menutup semua sistem komputernya hari ini berikutan ancaman itu, Thajudeen berkata, kerajaan tidak akan mengaku kalah kepada penggodam, sebaliknya sudah mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi mereka.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan cubaan godam yang dilakukan semalam adalah berskala kecil atau dilakukan penggodam tempatan.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) juga sudah bersiap sedia menghadapi ancaman siber berkenaan serta yakin berupaya menangkis cubaan mereka.

Suruhanjaya itu dalam satu kenyataan semalam, berkata mereka sudah menyelaras strategi bersama semua agensi kerajaan berkaitan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

"Sebelum ini pun ada serangan siber dilakukan terhadap laman web kerajaan tetapi kita (SKMM) dapat memulihkannya dengan pantas kerana sudah ada mekanisme dan prosedur bagi menanganinya.

"Bagaimanapun, SKMM akan terus berjaga-jaga terhadap sebarang ancaman siber bagi memastikan keselamatan maklumat dan rangkaian perhubungan demi integriti pelanggan di Malaysia," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Leftenan Kolonel (B) Datuk Husin Jazri, dalam satu kenyataan berasingan berkata, pihaknya memandang serius ancaman itu dan menganggap kebarangkalian ia berlaku adalah tinggi.

Anonymous' dikesan pegawai sebuah syarikat perisian keselamatan di Finland dan makluman mengenainya dibuat pada jam 4.42 pagi Selasa lalu.

Minggu lalu, 'Anonymous' melancarkan DDoS atau 'distributed denial of service' terhadap laman web Kerajaan Turki sebagai bantahan terhadap rancangan kerajaan itu untuk memperkenalkan penapisan internet.

Hujung minggu lalu pula, laman web Senat Amerika Syarikat diceroboh kumpulan penggodam Lulz Security tetapi gagal melepasi 'firewall' untuk memasuki rangkaian laman web yang lebih sensitif.

Sementara itu, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata semua tindakan yang sewajarnya sudah diambil bagi menghalang cubaan menyerang laman web kerajaan.

"Kita sudah memaklumkan perkara (serangan) ini kepada semua pihak berwajib, dan kita telah mengambil tindakan pencegahan yang perlu menerusi Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), SKMM dan semua agensi yang bertanggungjawab mengenai keselamatan siber," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Penulis Blog dan Media Sosial Sedunia 2011 di sini, semalam.

Rais menjelaskan Malaysia tidak pernah mengenakan sekatan internet tetapi akan mengambil tindakan terhadap mana-mana laman web yang mengandungi unsur jenayah.

"Saya rasa mereka tidak faham niat baik kita. Kita tidak ada sekatan tetapi apabila berlaku jenayah siber, mekanisme itu (sekatan) akan digunakan," katanya.

Beliau berkata, semua laman web yang berkenaan (disekat) boleh merayu kepada SKMM agar sekatan itu ditarik balik, bagaimanapun setakat ini suruhanjaya itu tidak menerima sebarang rayuan.