'Kamu ni Mie, tak solat jumaat ke?' Tanya abah menyapa aku yang tengah melayan skrin hanset. 'Apelah nak jadik dengan kau ni? Umur dah besar panjang, solat pun malas, tak malu ke?'
Aku tak jawab leteran abah, sebaliknya cuma menarik muka tanda bosan asyik dileteri abah. 'Kalau abah dah takde nanti, camnelah engkau ni?' Lalu abah pun meninggalkan aku, menunggang motosikal lama Honda C70 miliknya itu.
Dari jauh aku dengar khutbah jumaat, memang aku rasa aku patut pergi masjid, tapi aku malas, nanti-nantilah..
'Mie, abah nak nak keluar, ada ceramah kat masjid Mahsan, ko nak ikut tak?' 'Malas ah.' Jawabku tanpa memandang wajah abah.
'Mie, malam-malam jangan asyik keluar, cuba duduk rumah, jaga rumah, kang kalau kamu keluar, tinggal mak dengan adik kamu aja.' 'Hmm..' Jawabku lagi malas..
Bosan betul aku, abah tu asyik membebel aja, kan best kalau abah reti diam sekali-sekala, nanti taulah aku nak berubah.
Ish, lamanya orangtua ni pergi ceramah, dah 1 setengah pagi tak balik lagi, nasib la aku tak tido lagi sebab online, buatnya aku dah tido, kang boleh dia sibuk kejut orang bukak pintu.
'Like a G6, like a G6' hansetku memanggil, siapa pulak call pukul 2 pagi ni? No pun aku tak kenal, 'Hello, siapa ni?'
'Assalamualaikum, maaf sebab mengganggu, tumpang tanya, encik kenal tak dengan Mohamad Jusoh b Ngatiman?' Tanya suara yang aku tak kenal tu.
'Haa, tu bapak saya, siapa ni?'
'Begini encik, saya koperal Naim dari JPJ cawangan Mahsan, saya harap encik dapat bersabar, ayah encik terlibat dalam kemalangan jalanraya di kilometer 17, Mahsan-Bahau.'
Berdiri bulu roma aku bila anggota JPJ itu memberitahuku berita itu.
'Ya Allah! Teruk ke bapak saya encik?.'
'Saya harap encik banyak bersabar ye, ayah encik dah takde, ayah encik mengalami kecederaan parah di kepala dan badan, kereta Proton Wira yang dipandu ayah encik bertembung dengan lori kayu, ayah encik meninggal di lokasi kemalangan.'
'Ya Allah..Ya Allah..' Aku dah tak mampu sebut apa2 selain ya Allah..
'Jadi encik diminta datang ke hospital untuk proses kenalpasti dan pengurusan yang lain2, banyak bersabar ye encik, assalamualaikum.'
Ya Allah, kalau boleh aku nak minta ampun kat abah, aku nak cium tangan abah, aku nak abah membebel, ya Allah, kenapa hari terakhir abah, aku bercakap dengan abah, aku tak pandang muka abah..
Kini aku cuba sedaya upaya untuk menunaikan solat berjemaah di masjid setiap waktu, ya Allah, kalau ada pahalanya, aku sedekahkan kepada abah..
Ya Allah, begitu banyaknya dosaku, Kau ampunkanlah ya Allah, ya Robbi, kalau engkau tidak mengampunkan aku, kau ampunkanlah dosa ibubapaku ya Allah..
Ya Allah, kalau engkau mencampakkan aku ke nerakaMu, Kau masukkanlah kedua orangtuaku ke dalam syurgaMu ya Allah..
Airmataku mengalir deras setiap kali aku berdoa untuk kedua orangtuaku, entah kenapa ia mengalir tanpa dapat aku tahan...
Anak, pada jam 4:17 pagi khamis 1987 itu, dunia ini rasanya hilang harganya, segala yang lain seolah-olah sudah tidak bermakna lagi, bila abah dengar tangisan pertamamu,seakan hilang semua rasa, kerana besarnya cinta abah kepadamu.
Anak, mengalir airmata ini bila pertama kali menatap wajahmu, bukan airmata sedih, tapi akibat terlalu gembira dengan kelahiranmu.
Anak mengalir airmata ini semasa abah melaungkan azan ditelingamu, semoga kau membesar menjadi seorang anak yang soleh dan menjadi hamba Allah yang mulia.