Members Login
Username 
 
Password 
    Remember Me  
Post Info TOPIC: Kemanisan bersedekah


Super Member

Status: Offline
Posts: 705
Date:
Kemanisan bersedekah


Orang berkemampuan dianjurkan agar menghulurkan bantuan kepada golongan fakir dan miskin. Terdapat dua bentuk bantuan iaitu zakat dan sedekah.

Mengeluarkan zakat adalah tanda menyempurnakan Rukun Islam yang menjadi tiang kepada keislaman seseorang. Sesungguhnya dalam harta golongan kaya terdapat bahagian yang menjadi milik golongan fakir dan miskin.

Manakala sedekah adalah pemberian golongan berkemampuan kepada golongan fakir dan miskin. Pemberian itu berupa wang, makanan, pakaian, peralatan keperluan hidup, tempat tinggal, dan seumpamanya.

Memberi sedekah hukumnya sunat, tetapi pada keadaan tertentu membawa kepada wajib bergantung kepada keperluan orang memerlukan bantuan.



Sedekah adalah tanda keikhlasan memberi sesuatu yang dimiliki tanpa mendapat sebarang balasan daripada penerimanya. Apa diberikan itu semata-mata kerana ketakwaan kepada Allah.

Nyata sekali orang bersedekah tidak dilalaikan dengan kemewahan yang dijadikan ujian kepadanya. Dia mengharapkan balasan sebaik-baiknya daripada Allah. Harta dimiliki digunakan sepenuhnya sebagai pelaburan hari akhirat.

Kekayaan dan kemewahan hidup di dunia adalah sebahagian nikmat daripada sekian nikmat yang dilimpahkan Allah kepada hamba-Nya. Tetapi, bagi orang beriman nikmat paling besar yang diharapkan ialah kemanisan takwa yang membawa kepada kejayaan hidup di akhirat.

Orang kaya yang mengharapkan kemanisan nikmat takwa selalu ringan tangan menghulurkan sedekah kepada golongan miskin. Melihat kegembiraan atau membantu menyelesaikan masalah hidup orang miskin melahirkan perasaan nikmat yang tidak terhingga. Orang yang bersedekah secara ikhlas sedar bahawa apa yang dihulurkan itu amatlah sedikit nilai baginya di dunia ini. Sedangkan Allah menyediakan nikmat lebih besar sebagai gantinya.

Kenikmatan hidup di dunia tidak hanya terhad kepada nilai kekayaan dan kemewahan hidup secara fizikal saja. Kedua-dua nikmat itu hanya sebahagian daripada nikmat yang sebahagian banyak dijanjikan Allah.

Allah menjelaskan dalam firman bermaksud: ?Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkan kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi.? (Surah an-Nahl, ayat 18).

Menurut Imam al-Ghazali, nikmat ialah setiap kebaikan, kelazatan dan keinginan yang dipenuhi menurut kehendak sanubari seseorang manusia.

Kekayaan yang tidak dibelanjakan ke jalan kebaikan adalah beban yang menyusahkan pemiliknya di dunia dan akhirat. Orang kaya yang bakhil menyangka kekayaan yang dimiliki mendatangkan kesenangan hidup kepadanya. Sebaliknya, kekayaan itu menjadikan hidup golongan kaya sentiasa tidak tenteram disebabkan perasaan takut kehilangan atau kekurangan harta.

Orang kaya yang keberatan bersedekah bersifat bakhil kepada kebajikan. Sebaliknya, mereka sanggup berbelanja kepada perbuatan maksiat. Syaitan menyuruh membazir dalam perbelajaan tetapi kedekut jika apa dapat memberi kebaikan kepada orang lain.

Allah berfirman menjelaskan kedudukan orang suka membazir. Firman-Nya dalam surah al-Isra, ayat 27 bermaksud: ?Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.?

Kaitan sifat membazir dengan syaitan memang penting difahami kerana perbuatan itu membawa banyak keburukan. Syaitan sentiasa memperdayakan manusia melakukan perbuatan ingkar. Ini menyemai seperti sifatnya sebagai makhluk paling ingkar terhadap perintah Allah.

Syaitan sentiasa mendampingi orang bakhil dengan membisikkan rasa kecintaan yang keterlaluan terhadap harta. Si bakhil merasakan orang di sekelilingnya sentiasa menyusahkannya. Dia merasakan tidak ada keikhlasan dalam persahabatan dan memikirkan orang bersamanya semata-mata kerana kekayaan dimilikinya.

Syaitan menjadi kawan rapat si bakhil untuk melahirkan rasa takut membelanjakan kekayaan ke jalan Allah. Firman-Nya bermaksud: ?Syaitan menakut-nakutkan kamu, kalau-kalau kamu akan menjadi miskin dan menyuruh kamu melakukan kejahatan.? (Surah al-Baqarah, ayat 219).

Kekayaan hanya mendatangkan manfaat ketika hayat masih ada. Tidak ada orang membawa kekayaan sehingga ke alam akhirat. Kekayaan itu perlu digunakan dengan cara bersedekah atau digunakan ke jalan Allah sebagai bekalan di akhirat.

Rasulullah sentiasa menitikberatkan agar umatnya yang berkemampuan mengutamakan amalan sedekah. Al-Quran dan hadis banyak menjelaskan kelebihan amalan bersedekah. Justeru itu, para sahabat berebut-rebut melakukannya. Orang miskin juga ingin melakukannya.

Oleh itu, Rasulullah terpaksa menjelaskan dan melarang orang miskin daripada bersedekah. Sedekah hanya dibenarkan apabila segala perbelanjaan diri sendiri dan keluarga dipenuhi. Tidak harus bersedekah sekiranya keperluan diri sendiri tidak mampu dipenuhi.

Biarpun bersedekah hanya ibadat sunat tetapi kepentingan amalan tersebut amat utama. Sebab itu ganjaran bersedekah amat besar. Sesiapa mampu bersedekah tetapi tidak melakukannya sebenarnya menolak peluang terbaik disediakan untuknya. Antara tujuan Allah mewujudkan golongan kaya dan fakir miskin supaya antara keduanya dapat hidup saling membantu, saling menggunakan kepentingan dan saling menghormati.



__________________
kyo
Page 1 of 1  sorted by
 
Quick Reply

Please log in to post quick replies.

Tweet this page Post to Digg Post to Del.icio.us


Create your own FREE Forum
Report Abuse
Powered by ActiveBoard