DARIPADA Abu Hurairah, katanya, Nabi Muhammad saw bersabda bermaksud: “Lihatlah kepada orang yang lebih rendah daripadamu dan jangan melihat kepada orang yang lebih tinggi. Itulah tembok yang kukuh supaya kamu tidak menghina pemberian Allah kepadamu.”
Selaku insan mukmin, kita tidak harus menyalahkan apa saja pemberian Allah, apalagi menghinanya.
Hal ini kerana jika dihitung-hitung nikmat Allah, nescaya kita tidak akan sanggup menghitungnya lagi disebabkan terlampau banyak nikmat, termasuk pemberian yang tidak disedari.
Oleh itu, jangan kita kesal atau kecewa dengan ciptaan atau pemberian Allah sama ada mengalami kecacatan, kekurangan dan sebagainya. Hal ini kerana jika mengeluh terhadap-Nya, padahal kita sedang menikmati rahmat-Nya, itu bermakna kita tamak dan menutup mata atas nikmat yang dimiliki selama ini.
Perkara demikian akan menjerumuskan kita ke lembah kekufuran serta mengundang kemurkaan Allah suatu masa kelak. Allah akan menarik semula segala nikmat pemberian-Nya dan menggantikannya dengan kesusahan.
Pada waktu itu, kita akan menyesal dan celik akan hakikat sebenarnya. Sesungguhnya sebahagian besar musibah yang menimpa manusia disebabkan oleh keluhan mereka terhadap-Nya, sedangkan Allah itu Maha Pengasih, Maha Adil dan lemah terhadap hamba-Nya.
Oleh itu dalam apa juga perkara, kita hendaklah bersifat qana’ah dan sentiasa bersyukur. Di samping itu, kita hendaklah berusaha dan bersabar kerana Allah ada berfirman bermaksud: “...boleh jadi kamu benci pada sesuatu, padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu, padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jugalah Yang Mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 216)