PESAN Imam Al-Ghazali, "Wahai anak! Nasihat itu mudah, yang sulit adalah menerimanya. Hal ini kerana terasa pahit oleh hawa nafsu yang menyukai segala yang terlarang, terutama di kalangan orang yang menuntut ilmu yang membuang masa dalam mencarikebesaran diri dan kemegahan duniawi.
Dia berpendapat bahawa dalam ilmu terkandung keselamatan dan kebahagiaan. Oleh itu, dia menyangka tidak perlu beramal. Dia tidak tahu ketika ada ilmu pada seseorang, maka apa yang memberatkan seperti sabda Rasulullah saw bermaksud: "Orang yang berat menanggung seksa pada hari kiamat ialah orang yang berilmu, namun tidak mendapat manfaat daripada ilmunya itu".
Wahai anak! Jangan engkau hidup dengan kemiskinan amal dan kehilangan kemahuan kerja. Yakinlah bahawa ilmu tanpa amal semata-mata, tidak akan menyelamatkan orang.
Jika pada suatu medan pertempuran ada seseorang yang gagah berani dengan persenjataan lengkap dihadapkan dengan seekor singa yang garang, dapatkah senjata itu melindunginya daripada bahaya, jika tidak diangkat, dipukul dan ditikamnya haiwan itu?
Demikian pula, jika seseorang membaca dan mempelajari seratus ribu risalah ilmiah, kalau tidak diamalkan, maka ilmu itu tidak berfaedah.
Wahai anak! Berapa malam engkau berjaga untuk mengulangi ilmu, membaca buku dan engkau haramkan tidur atas dirimu. Aku tidak tahu, apa yang menjadi pendorongmu.
Jika yang menjadi pendorong itu ialah kehendak mencari kebendaan dan kesenangan dunia atau mengejar pangkat atau mencari kelebihan mengatasi kawan semata-mata, maka malanglah engkau. Namun, jika yang mendorongmu adalah keinginan untuk menghidupkan syariat Rasulullah dan menyucikan budi pekertimu serta menundukkan nafsu yang tiada henti mengajak kepada kejahatan, maka mujurlah engkau.
Benar sekali kata seorang penyair: "Biarpun mengantuk menyeksa mata, akan percuma semata-mata, jika tidak kerana Allah semata".
Wahai anak! Hiduplah seperti mahumu. Namun ingat! Bahawa engkau akan mati. Cintailah siapa yang engkau sukai. Namun ingat! Engkau akan berpisah dengannya. Berbuat seperti yang kau kehendaki. Namun ingat! Engkau akan menerima balasannya nanti.