Malam tadi aku terjaga di tengah malam, bunyi kereta yang lalu mengejutkan aku dari tidurku. Bunyi kereta itu jugalah yang memberhentikan mimpi yang paling menginsafi diriku. Aku bermimpikan pemergian ibuku buat selamanya. Mimpi yang paling menyegarkan aku dari kelewaan ini.
Dalam mimpi itu aku teresak-esak menangisi permergian ibuku. Dalam mimpi itu aku menyesali diriku. Sungguh aku berharap dia akan bahagia meraikan kejayaanku dalam pelajaran. Sungguh aku berharap dia dapat bergembira bermain bersama-sama cucunya; anak-anakku sendiri.
Aku selama ini tidak sedar. Aku tak pernah mendoakan kebahagiaan atau kepanjangan umurnya sesekali ku mengerjakan solat. Walaupun berlautan air mata berguguran dari mata ibuku memohon pertolongan-Nya agar diberikan kenikmatan terhadapku, tak pernah ku ucapkan terima kasih. Aku malu.
Ya aku malu dengan ibuku. Ibuku yang meminta wang saku untukku dari abangku tanpa rasa malu ketika aku berselisih dengan bapaku. Aku menangis ketika di sekolah rendah ketika ibuku berjalan kaki berpanas datang untuk mengambil kad laporanku. Bukan menangis kerana sedih kasihankan ibuku, tetapi menangis kerana aku malu. Ibuku hanya berpayung berjalan kaki. Tidak berkereta seperti orang lain. Aku tak pernah memintanya datang ke sekolah menengah mengambil kad laporan kerana dia sudah tua. Budak pandai ibunya sangat tua dan hodoh! Itulah andaianku. Tidak pernah ku hargai segala pengorbanannya. Tak pernah ku fikirkan betapa gembira hatinya melihat anaknya belajar dengan baik.
Tiba keputusan peperiksaan besar aku menelefon ibuku dari sekolah memberitahu keputusanku. Aku menipu ibuku dengan gred-gred yang rendah kononnya ingin membuat kejutan nanti di rumah. Namun bila tiba di rumah, air matanya mengalir. Betapa dia percayakan perkara dusta ku itu tadi. Betapa dia percayakan anaknya. Anaknya pula tak pernah memikirkan hati wanitanya yang lembut itu. Seronok dapat mempermainkan ibunya sendiri.
Abang-abangku semuanya tidak menetap bersama. Kalau datang berkunjung pun hanya sejam dua, setiap dua minggu. Di situlah aku sedar kegembiraan ibuku melihatkan telatah cucu-cucunya. Dia berusaha agar dirindui cucu-cucunya. Dia ingin sentiasa bersama cucu-cucunya. Kadangkala cucu-cucunya meminta agar dapat ditinggal bersama neneknya sehari dua. Betapa sibuknya dia melayan cucu-cucunya. Tetapi aku tidak paham. Aku anggap seperti ianya suatu beban abang-abangku tinggalkan kepada ibuku. Pantang saja anak buahku jejak ke bilikku aku tengking agar mereka berasa bosan untuk duduk lama disitu. Aku tidak paham. Sepatutnya ku biarkan mereka bersama ibuku. Kasihanilah ibumu itu yang sudah tua menunggu panggilan Ilahi. Berikanlah kegembiraan bersama cucu-cucunya agar dapat dia lupakan kesedihan dari mu.
Aku suka bersangka buruk dengan ibuku. Ibuku suka masuk kedalam anak-anaknya menyelongkari laci-laci berkunciku ketika anaknya tiada dirumah. Habis rahsiaku diketahui olehnya. Ibuku seorang yang penyibuk! Pernah ku pinjam beberapa keping video lucah dari rakanku dan ku simpan dalam laci. Dua tiga hari kemudian semuanya hilang! Ibuku yang suka menyelongkar laci yang membuangnya! Ibu memang penyibuk!
Tapi aku tak pernah sedar tindakannya hanyalah untuk melindungi anaknya sendiri. Dia lindungi aku dari maksiat dan dosa. Tak pernah aku maafkan sikapnya sehinggalah aku menyedari hal ini. Dia melakukan semua itu kerana dia menyayangi anaknya.
Dia curahkan segalanya kepadaku. Wang-wang pemberian abangku dia berikan kepadaku agar dapat ku beli baju untuk ke kuliah. Sedangkan dia dengan baju dan kain batik buruknya.
Aku tak pernah berusaha untuk memperbaiki diriku. Ibuku terpaksa memekakkan telinga dan membisu mendengar jiran-jiran menceritakan kehebatan anak masing-masing. Tapi pernahkah ibu menceritakan tentangku? Pernahkan dia merasa bangga dengan anaknya yang seorang ini? Dia dipandang rendah atas sikap anaknya sendiri.
Dahulu aku tak mahu dipanggil anak emak oleh rakan-rakan. Tapi sekarang betapa bangganya jika aku dipanggil anak emak. Kerana emak aku, ibuku adalah seorang wanita yang mulia, bersusah payah membesarkan anak-anaknya, ditepuk tampar dicela demi melindungi anak-anaknya.
Aku tak mahu pergi dahulu sebelum ibuku. Aku tak mahu dia menangisi pemergianku. Namun aku juga tak rela ibuku pergi dahulu dariku kerana aku tak ingin melihatnya pergi dalam kesedihan. Biarlah dia bergembira.
Mungkin Tuhan sengaja memberi pesan kepadaku melalui mimpi? Supaya aku berubah dan paling penting, berterima kasih kepada ibuku? Ya! Dia memberi peluang kepadaku agar dapat aku ukirkan senyuman penuh ikhlas dan penuh keredhaan dari ibuku. Banyak lagi yang ingin ku coretkan namun biar aku lupakan segalanya dan berusaha membahagiakan ibuku.