Members Login
Username 
 
Password 
    Remember Me  
Post Info TOPIC: kemaafan-dendam yg terindah..


Super Member

Status: Offline
Posts: 1719
Date:
kemaafan-dendam yg terindah..


Entah kenapa hari ni hati meruntun amat untuk menulis sesuatu. Mungkin hari ini aku ingin menulis soal kemaafan, satu dendam yang terindah. Satu konsep yang belum kufahami sepenuhnya. Apa erti maaf? Bagaimana untuk belajar memaafkan hatta dosa yang terbesar sekalipun? Bolehkah kita memaafkan apa saja?...

Selama 22 tahun melayari kehidupan, pelbagai kisah yang sudah terlakar dalam diari kehidupan aku. Manis, pahit, kelakar, poyo, memalukan, bahagia, kecewa etc…dan tidak terkecuali, kisah-kisah dimana aku perlu memaafkan dan dimaafkan. Banyak, terlalu banyak kalau nak dikisahkan semuanya di sini. Tapi satu kisah yang paling signifikan bagi aku…ialah kisah antara aku, abah dan ‘perempuan’ itu.



13 tahun dahulu aku dihambat realiti kehilangan arwah mak. Sejak hari itu hidup aku berubah..dunia aku berputar 180 darjah. Kalau duduk kat atas kerusi rasanya dah tergolek dok kat atas lantai. Minggu-minggu pertama pemergian arwah mak, aku meraung mencari arwah di segenap pelusuk rumah, halaman rumah etc. Setakat penjelasan ‘mak dah pergi jauh’ dari kakak dan abang aku tak memberi makna pada aku. Tapi lama-kelamaan aku diam juga, sebab abah janji abah nak carikan aku mak baru. Pada mulanya aku marah pada abah, takde siapa yang boleh ganti arwah mak, mak aku cuma ada seorang etc. Kemudiannya aku ‘cair’ dengan pujukan abah… ‘nanti mak baru boleh jaga ***, boleh masak sedap-sedap, nanti mak baru sayang *** macam arwah mak’. Tak sampai setahun arwah mak meninggal, abah kahwin lagi. Adik-beradik yang lain membantah, katanya ‘perempuan’ janda itu tak sesuai untuk abah setelah mereka selidiki latar-belakang ‘perempuan’ tu. Aku diam saja, membantah tidak mengiyakan pun tidak. Tapi dalam diam aku gembira dan teruja yang amat ‘aku nak dapat mak baru!’

Indahnya membina impian, tapi bukan mudah menggapainya. Buat beberapa waktu aku gembira dengan perkahwinan abah. ‘Perempuan’ itu nampak baik, kakak dan abang tiriku juga mudah serasi dengan aku. Tapi lama-kelamaan situasi mula berubah. Abah berpindah ke rumah ‘perempuan’ itu, meninggalkan aku di rumah bersama abangku: bekas pesakit mental yang belum berkahwin dan kakakku yang masih di sekolah menengah. Alasannya tak mahu aku berpindah sekolah ditengah-tengah tahun, hendak tunggu akhir tahun barulah berpindah ke sekolah baru dan duduk bersama abah dan ‘perempuan’ itu. Dari saat itu segala urusan makan pakaiku diuruskan oleh abang M dan kakakku. Setiap hari balik dari sekolah aku dan abangku terus singgah di warong untuk makan tengahari: nasik bungkus. Sampai pakcik makcik warong tu dah kenal sangat dengan muka aku. Kakak aku makan di sekolah…lewat petang baru dia balik ke rumah. Makan malam, sama ada kakak aku masak simple2 jek atau makan lebihan lauk nasi bungkus tengahari. Aku pun dah mula belajar basuh baju sendiri, kemas rumah, uruskan diri sendiri etc. Abah cuma datang rumah sekali-sekali tengokkan aku. Selalu jugak aku tanya abah ‘bila nak bagi *** pindah duduk dengan abah?’ dah semestinyalah aku rindu kat abah, lebih-lebih pulak aku anak bongsu yang manja, tak pernah terpisah dengan abah. Tapi abah diam saja, lama-kelamaan bocor jugak rahsia: ‘perempuan’ tu taknak aku pindah duduk sama dengan mereka. Kakak dan abang aku pun membantah keras, disebabkan beberapa insiden ‘x best’. Salah satunya masa aku datang rumah ‘perempuan’ tu, dia keluar ‘berjoli’ dengan anak dia dan suruh aku jaga rumah sampai ke petang. Kebetulan kakak n abang aku datang melawat, ter’kantoi’ la cerita aku tak makan dari pagi sampai petang, tapi perempuan tu keluar berjoli sakan dengan anak dia makan2 kat pekan. Dekat setahun juga aku duduk dengan abang M dan kakak aku yang masih bersekolah tu. Last2 kakak aku dapat tawaran ke maktab. Risau sebab takut takde sesiapa yang nak jaga aku dirumah bila abang M bekerja shift malam, kakak dan abang aku yang lain suruh aku pindah duduk dengan mereka. Aku mengamuk nak duduk dengan abah tapi oleh sebab ‘perempuan’ tu taknakkan aku dan abahpun ‘diam’ saja. Akhirnya aku akur dalam terpaksa. Aku duduk dengan angah kat jb. So aku dah mula sedar…abah dah ada keluarga baru, dan dalam keluarga baru tu takde tempat untuk aku mahupun adik-beradik aku yang lain.

2 tahun duduk dengan angah, aku tak tahu nak gambarkan perasaan aku macam mana. Rindu pada abah, marah pada ‘perempuan’ tu, cemburu pada anak2 saudara aku kerana layanan yang berbeza. Yalah walau sekuat mana angah cuba untuk tak membezakan, adik dengan anak kan lain. Lagi pulak aku bukan faham sangat lagi…Saat hari lahir mereka anak2 saudaraku diraikan, aku sekadar jadi pemerhati. Masa tu terasa benar rindu pada abah. Selama ini perhatian semuanya pada aku, akulah anak bongsu kesayangan abah. Aku rasa tersisih dan terkilan, hanya dapat membayangkan abah datang membawa hadiah hari lahir untukku. Ya! Aku se’pathetic’ itu. Aku mula memberontak, aku nak balik kampung jumpa dan tinggal dengan abah. Walaupun abah dan ‘perempuan’ tu taknak kat aku, aku tak peduli. Akhirnya angah mengalah, naik sekolah menengah dia benarkan aku balik dan bersekolah di kampung.

Aku ingatkan ‘perempuan’ tu sangguplah terima aku kali ni. Tapi tak. Tapi aku tak putus asa. Demi rindu pada abah, bermulalah episod ‘menunggu’ aku sekali lagi. Nasib baik masa tu abang M dah kahwin, aku duduk dengan abang M dan isterinya kat kampung. Senang sikit nak jumpa abah, kampung ‘perempuan’ tu dengan kampung aku taklah jauh sangat, satu daerah jek. Abah janji nak bawak aku duduk dengan dia, tapi tunggu punya tunggu takde apa pun. Setahun habis, aku naik form 2. Rindu dan sayang aku pada abah dah mula berubah jadi amarah dan kecil hati. Sedikit demi sedikit aku padam keinginan dan kerinduan aku untuk sama2 tinggal dengan abah. ‘I’m doing fine for all these while without him anyway’…saja nak sedapkan hati sendiri. Hubungan aku dan adik-beradik yang lain dengan ‘perempuan’ tu pun dah jadi makin tegang. Pertikaman lidah perkara biasa, berselisih faham, tuduh-menuduh. Seperti biasa aku hanya jadi pemerhati. Setiap kali abah berselisih faham dengan ‘perempuan’ tu, abah akan datang ke rumah melepas amarah pada kami adik-beradik. Malangnya yang ada di rumah cuma aku. Hampir setiap hari juga aku jadi tempat abah melepas marah, telinga ni dah lali dengan kata-kata abah yang memburukkan kakak dan abangku yang lain. ‘Perempuan’ tu semuanya betul, dia saja yang baik dan penting di mata abah. Pada abah anak2 tirinya semua baik, kami adik beradik termasuk aku semuanya jahat dan menyusahkan. Kami ni anak derhaka sebab tak mahu panggil ‘perempuan’ tu dengan nama ‘mak’. Hakikatnya ‘perempuan’ tu amat licik, guna cara kotor menguasai abah. Guna sihir, masakan tidak, ‘perempuan’ tu bomoh handal, selalu orang mencari dia berubat dsb. Pernah suatu hari abah datang tiba-tiba tengah2 malam bawa kemenyan kerumah. Habis ‘diasap’ satu rumah dengan kemenyan. Abah kata rumah tu ‘panas’. Aku dan kakak aku [dia baru habis dip maktab dan dapat mengajar di kampung] tercengang sesama sendiri. Speechless. Tak tahu nak rasa apa, sedih ke, marah ke, antara percaya dengan tidak dengan tindakan abah. Hebat benar penangan ‘perempuan’ tu.

Kemuncak konflik kami dengan ‘perempuan tu bila harta abah sedikit demi sedikit dikikis oleh ‘perempuan’ tu. Barang kemas peninggalan arwah mak semuanya habis sama ada digadai atau diambil untuk kegunaan ‘perempuan’ tu, termasuklah barang kemas aku. Semuanya abah leburkan dan jual. Yang tinggal pada aku cuma seutas rantai arwah mak yang sempat kakak aku selamatkan. Rantai tu kami potong bahagi dua. Seutas untuk kakak aku dan seutas untuk aku. Rantai tulah yang aku pakai sampai sekarang, satu-satunya bekas peninggalan arwah mak yang aku ada. Hatta sampai ke pinggan mangkuk pun abah angkut. Sepeninggalan aku ke sekolah, abah dan ‘perempuan’ tu datang ke rumah pecahkan tabung aku. Jerih perih aku berjimat lebur macam tu saja. ‘Abah dan mak kau tak cukup duit’. Dan aku seperti biasa hanya diam. Diam dan menangis sebab aku sayangkan abah, sayang yang amat. Abang dan kakak aku tak pernah putus mengirim duit untuk kesenangan abah, walaupun mereka sedar, duit tu takkan pernah jadi milik abah. Semuanya ‘perempuan’ tu yang ambik. Sejak arwah mak meninggal boleh dibilang dengan jari berapa kali abah bagi aku duit. Semua perbelanjaan aku kakak dan abang yang tanggung. Semua. Nafkah bagi abah cuma biskut chipsmore yang kadang-kadang abah belikan bila datang melawat aku di rumah dan zakat fitrah yang abah bayarkan saban tahun. Itu saja. Saban tahun di pagi raya, mesti suasana raya jadi hambar, kelat, pahit, hancur. Sebab setiap kali rayalah ‘perempuan’ tu buat ‘scene’. Pagi-pagi raya dah berkelahi. Kalau abah sembahyang raya di rumah, abah selalu tergesa-gesa balik selepas ‘perempuan’ tu telefon marah-marah suruh abah balik. Sebagai tanda hormatkan abah dan untuk rasa kami ni masih ada ayah, kami sanggup melawat rumah abah dan ‘perempuan’ tu saban tahun di hari raya. Bersemuka memang nampak baik, tapi selepas itu mulalah kedengaran suara2 tak puas hati dari ‘perempuan’ tu. ‘Anak-anak abah semuanya tak elok’. Sampai satu tahap, aku ‘tawar hati’ dengan abah. Rindu dan sayang aku bertukar jadi benci dan dendam. Ya, aku tahu berdosa besar anak membenci ayahnya. Tapi aku tak benci abah, aku benci perilaku abah. Sampai hati abah.

Lama-kelamaan perangai ‘perempuan’ tu dan anak-anak tiri abah makin menjadi-jadi. Orang kampung di kampung ‘perempuan’ tu dah mula heboh kisah ‘perempuan’ tu dengan seorang lelaki lain. Selidik punya selidik barulah tahu cerita memang begitu perangai ‘perempuan’ tu sejak sebelum dia kahwin dengan abah lagi. Janda miang! Tapi abah tak percaya, abah percaya bulat-bulat penipuan ‘perempuan’ tu. Baran abah makin menjadi-jadi dan seperti biasa, aku dan adik-beradik lain jadi tempat abah melepas marah. Caci maki abah sudah lali di gegendang ni. Anak-anak tiri abah dah mula ‘naik kepala’. Abah dilayan macam kuli kat rumah tu. Abah yang dah selayaknya duduk berehat dirumah [umur abah masa tu dah dekat 70] masih lagi teruk bekerja sbg pak guard, siap ambil upah kait kelapa, mengupas kelapa, jual kelapa sana sini. Sampai luka-luka tangan abah. Makan pakai abah selalunya abah yang uruskan sendiri. Abahlah yang basuh baju kat rumah tu, kadang2 abah yang masak. Sekali sekala bila abah datang rumah, bila tanya ‘abah dah makan?’ selalu abah jawab ‘mak kau tak masak’. Anak-anak yang abah kata derhaka ni jugalah yang layan makan pakai abah. Kadang-kadang abah bawak baju kotor ke rumah dan kamilah yang basuhkan. Pakaian abah jarang benar berganti, kami juga yang ingat dan belikan untuk abah. Biar berbakul sumpah seranah abah pada kami, kasih sayang kami pada abah tak lekang. Abah sajalah yang tinggal buat kami menumpang kasih. Raut wajah abah, susuk abah yang makin susut, keluh-kesah abah, aku yang paling banyak memerhati sebab aku yang paling kerap jumpa abah. Akulah tempat abah meluah perasaan, meluah marah. Aku jadi pendengar setia abah. Walau abah tak pernah tanya perasaan aku, tak pernah hirau pelajaran aku, selalu marah-marah, aku bersyukur sekurang-kurangnya abah masih ada depan mata aku. Banyak kali aku rasa nak upah pembunuh upahan tembak ‘perempuan’ tu dengan anak2 dia yang kurang ajar tu semua bagi mampos! Duit abah, simpanan abah semuanya ‘kering’ dek penangan ‘perempuan’ tu dan anak2nya. Anak-anak tiri abah dah mula hilang hormat pada abah. Bukannya aku tak tahu macam mana mereka layan abah. Bila harta abah dah habis dikikis, abah dibuang macam tu saja. Dilayan macam kain buruk.

Bila abah terlantar sakit di hospital, ‘perempuan’ tu haram sikit pun tak nak jaga abah. Anak-anak tiri abah satu pun takde yang melawat. Bila abah keluar hospital, kami adik-beradik bergilir-gilir jaga abah. Abah tak nak balik rumah ‘perempuan’ tu. Satu persatu rahsia terurai. Abah sakit sebab jatuh dipukul anak tiri dia rupanya, depan mata ‘perempuan’ tu dan dia biarkan tak buat apa-apa pun untuk bantu abah. Semuanya kerana harta. Harta yang kami pertahankan habis-habisan dari jatuh ketangan ‘perempuan’ tu. Patutlah ‘perempuan’ tu dan anak-anak tiri abak seorang pun tak nampakkan muka bila abah di hospital. Takut terserempak kami adik-beradik agaknya. Mungkinlah kalau masa tu kami terserempak dengan mereka, bermandi darah agaknya hospital tu. Biadab! Walau apa yang abah buat, tak pernah kami sekurang-ajar itu dengan abah. Sampai memukul orang tua. Hati aku hancur, kesilapan yang abah buat bukan saja hancurkan hati kami adik-beradik, tapi diri abah juga. Tapi kami bersyukur sebab abah sedar kesilapan dia. Kami bawa abah berubat dengan seorang ustaz. Ustaz tu kata abah dah ‘teruk’. Dah dekat 10 tahun abah dibawah pengaruh sihir ‘perempuan’ bomoh tu, benda tu dah sebati dalam badan abah. Kami buat apa yang termampu untuk ubati abah. Tiada langsung khabar berita tentang ‘perempuan’ tu. sedikitpun tak bertanya khabar berita suaminya yang terlantar sakit akibat perbuatan terkutuknya juga. Hilang begitu saja. Mungkin dia puas ‘menghisap’ darah dan keringat abah tapi tuhan tu ada. Allah tu maha adil. Allah tunjukkan semuanya, Allah bentangkan semuanya beri abah lihat. ‘perempuan’ dan anak-anak tiri yang abah sanjung selama ni lah yang menikam abah dari belakang, dan anak-anak yang abah hina dan cop derhaka ni lah yang akhirnya berbakti pada abah. Allah maha adil, Allah selamatkan harta abah dan arwah mak yang terakhir dari jatuh ketangan ‘perempuan’ tu. Sekurang-kurangnya gagal muslihat jahat ‘perempuan’ tu.

Sepanjang waktu abah di hospital sehingga waktu-waktu terakhir hayat abah, aku betul-betul keliru. Benci dan dendam aku pada abah selama ni lebur macam tu saja. Tak, mungkin apa yang aku rasa tu bukan benci, amarah dan dendam…mungkin semua tu cuma rindu dan sayang yang tak kesampaian. Bertahun aku menjarakkan diri dari abah. Terngiang lagi kata-kata abah masa aku form 4 ‘*** dengan abah sekarang ni dah lain benar tak macam dulu, kenapa?’ lirih suara abah jelas pada pendegaran aku sampai bila-bila. Aku diam, seperti kebiasaannya aku hanya mampu diam. Abah, abah tak sedar ke apa yang abah buat selama ni? Abah tak sedar ke luka yang abah tanamkan pada anak yang abah buang ni?...Aku kekok untuk mendekati abah semula. Terlalu banyak peristiwa yang buat aku terkilan dengan abah sampai aku rasa ‘tawar hati’ dengan abah. Dan sekarang tiba-tiba abah berubah, abah menyesal dengan kesilapan abah. Apa aku nak buat? Aku betul-betul confused. Tapi aku gembira dan bersyukur sebenarnya. Abah yang aku rindu sejak 13 tahun dulu, aku dah dapat balik. Tapi kejamnya dunia dan betapa naifnya aku. Ah, I should’ve known. Besarnya harapan aku untuk tebus balik masa-masa bersama abah, dan besarnya dugaan yang merampas semua harapan tu. Abah meninggal bila aku di kolej. Bila aku sampai di rumah abah dahpun dikebumi. Abah pergi tanpa beri peluang untuk aku tatap abah buat kali terakhir. Begitu sekali abah ‘buang’ aku…

Abah pergi sebelum aku sempat meminta maaf dengan abah. Aku terkilan sebab rindu dan sayang yang aku pendam selama ni tak sempat kuluah pada abah. Aku teringin nak abah tahu, aku tak benci abah, sungguh aku tak benci abah. Aku sayang abah yang teramat sangat sebenarnya. Sampai sekarang sesalan dan kenangan tu masih terasa nyilu di dada aku. Mungkin hingga sampai saat aku mati, aku akan bawa sesalan ni sampai bila-bila. Dan ‘perempuan’ itu…hingga saat aku menulis artikel ini, aku tak pernah jumpa dia lagi. Anak dia yang perempuan tu pun khabarnya dah berumahtangga dan bekerja dekat saja dengan kawasan rumah kakak aku. Tapi kuasa Allah, sampai sekarang aku tak pernah terserempak dengan dia. Selalu juga aku mendengar khabar-khabar angin tentang ‘perempuan’ tu. Khabarnya dia sudah ada ‘target’ baru selepas abah meninggal. Biarlah, aku malas nak ambil pusing.

Semenjak aku menjejakkan kaki ke bumi England ni, aku ditakdirkan bertemu dengan golongan yang amat-amat membantuku mengenal Allah dan mengerti Qada’ dan QadarNya. Dan aku mula belajar memaafkan. Kalau dulu hati aku penuh benci, marah dan dendam yang menjadikan aku individu ‘kasar’ yang selalu disalaherti. Sesungguhnya segenap yang berlaku, semuanya ketentuan Allah dan Allah takkan pernah menganiaya hamba-hambaNya. Manusia diuji mengikut kemampuan mereka, dan Allah takkan pernah meninggalkan hamba-hambaNya sendirian menghadapi ujian. Dan semua yang berlaku pada aku dan keluarga aku, semua itu ketentuan dan takdir Allah. Walau sehebat mana benci dan dendam aku pada semua yang berlaku, aku alah jua pada hakikat, semua ini takdir. Apa hak aku untuk marah pada takdir Allah? Bukankah Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya?. Maka sekarang aku mula belajar memaafkan ‘perempuan’ itu. Malah aku ingin mengucapkan terima kasih kepadanya. Terima kasih, kerana kau mengajar aku erti kekuatan dan ketabahan. Dan kau mengajar aku menghargai ikatan kekeluargaan. Terima kasih, walau sezalim mana perlakuanmu pada abah aku, hakikatnya kau pernah membahagiakan abah aku, walaupun semua tu palsu belaka. Sekarang ini bila aku teringat kembali wajah dan menyebut kembali nama ‘perempuan’ itu, hati aku sudah tidak dikuasai benci yang meluap lagi. Kau hanya ujian yang Allah datangkan untukku, dan segala kekejaman kau, biarlah Allah yang membalas. Sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik pemberi balas.

Itulah kemaafan bagiku. Tak guna membenci, tak guna berdendam…kerana bila difikir secara teliti dan dihayati…benci dan dendam itu tidak lain terarah pada Allah yang menentukan semuanya berlaku in the first place. Nauzubillahiminzalik. Masakan kita tega membenci dan berdendam pada ketentuan Allah bukan? Tak mengapalah, ‘perempuan’ itu memberi aku ruang yang luas untuk aku bersabar dengan ujian, dan kesabaran itulah yang Allah akan reward upon, InsyaAllah. Kini aku hanya mampu berdoa dan memohon moga abah redha dan maafkan aku…semoga Allah maafkan dosa abah, aku dan kita semua. Dan ‘perempuan’ itu…I have nothing to say to you anymore. I surrender everything to Allah… tapi ingatlah, barangsiapa yang bersahabat dengan syaitan malah menganiaya orang lain dengan bantuan syaitan, hukumannya amatlah berat. Aku ceritakan semua ni sekadar menceritakan pengalaman aku tentang soal kemaafan. mungkin ada pengajaran disebalik kisah aku ni yang boleh kita pelajari bersama. Abah pun dah tiada, bukan niat aku mengungkit kisah orang yang telah tiada. Moga Allah ampunkan dosa aku dan kita semua. Aku juga masih belajar dari pengalamanku sendiri...

Akhir kata, moga kita semua jadi individu pemaaf…memaafkan itu indah. Memaafkan itu dendam yang terindah…ia meringankan beban di hati, bagai melerai rantai yang membelenggu supaya kita boleh bangun dan berlari kembali, meladeni hidup yang masih panjang…



[guys, sorry for everything as well…anything, everything, to anyone, please accept my humble apology]


~~~
dicopy sahaja ya..tapi best..penuh makna.walaupun x dikategorikan sebagai cerpen..hmm..sedih²..


assalamualaikum..


p/s:copy dari: http://www.tokeikedai.net.my/v8/index.php?name=News&file=article&sid=4929




__________________
"nama saya Rain~"


Senior Member

Status: Offline
Posts: 271
Date:

sungguh menyayat hati.....
isk isk...
moga jd iktibar....


__________________
http://prepaid4u.net/?id=qamel
Page 1 of 1  sorted by
 
Quick Reply

Please log in to post quick replies.

Tweet this page Post to Digg Post to Del.icio.us


Create your own FREE Forum
Report Abuse
Powered by ActiveBoard