Members Login
Username 
 
Password 
    Remember Me  
Post Info TOPIC: banjir la pulak!


Super Member

Status: Offline
Posts: 1719
Date:
banjir la pulak!


5 maut, 60,000 dipindah -- Banjir makin buruk di Johor, Melaka dan bermula di Pantai Timur







NAJIB Tun Razak bertanya khabar kepada warga emas, Halimah Mat Said, 78, (tengah) di pusat pemindahan banjir di Dewan Serbaguna Taman Kota Jaya, Kota Tinggi, Johor, semalam.




KUALA LUMPUR 21 Dis. – Lima orang mati lemas di Segamat dan Kluang ketika keadaan banjir dilaporkan semakin buruk di Johor dan Melaka, manakala Kelantan dan Pahang mula dilanda hari ini.


Setakat ini, lebih 60,000 mangsa telah dipindahkan ke lebih 200 pusat pemindahan di Johor dan Melaka sejak banjir melanda kedua-dua negeri itu Selasa lalu.


Serentak itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang meninjau keadaan banjir menerusi udara dan melawat mangsa di Johor hari ini mengarahkan semua agensi termasuk anggota serta kelengkapan tentera memberikan bantuan.


Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menghubunginya malam tadi dan mengarahkan supaya segala bentuk bantuan disegerakan bagi memastikan mangsa bencana mendapat bantuan yang diperlukan.


“Bagaimanapun jika tidak mencukupi, kita meminta kerjasama pasar raya-pasar raya untuk membolehkan agensi-agensi kerajaan mendapatkan bekalan daripada mereka.


“Kerajaan akan membayar semua kos selepas itu,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Ping Ming di Kluang petang ini.


Sementara itu, mangsa yang terkorban di Segamat ialah Nor Azahari Nordin, 28, dari Kampung Permatang Panjang, Jementah; Ahmad Serkawi, 70, dari Sungai Jenalen dan Masiah Ahmad, 69, dari Kampung Padang Lalang.


Nor Azahari lemas dipercayai semasa sedang mandi di sungai manakala Ahmad Serkawi yang menghidap angin ahmar dan lumpuh separuh badan ditemui lemas di rumahnya.


Dua yang terkorban di Kluang pula ialah seorang guru M. Mageswary, 26, dan bapa saudaranya, A. Muniandy, 59, dari Paloh.


Sehingga petang ini, sejumlah 9,020 orang daripada 2,082 buah keluarga di Segamat telah dipindahkan dan ditempatkan di 62 buah pusat pemindahan, manakala daerah Kota Tinggi terus ditenggelami air 1.5 meter akibat hujan renyai yang berterusan sejak pagi ini.


Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah melaporkan, bandar Kota Tinggi kini diibaratkan seperti sebuah ‘pulau’ dengan jalan-jalan keluar masuk ke bandar terus ditutup termasuk bagi kenderaan berat.


Bagaimanapun di Johor Bahru, keadaan beransur pulih dengan air semakin surut.


Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor, seramai 45,448 mangsa daripada 8,938 keluarga masih berada di 252 pusat pemindahan banjir di negeri itu.


Sebanyak 12 pusat penempatan sementara banjir di Johor Bahru ditutup pada pukul 4 petang ini sekali gus membolehkan 4,343 mangsa daripada 903 keluarga pulang ke rumah masing-masing.


Di MELAKA, mangsa banjir di daerah Alor Gajah yang dipindahkan meningkat kepada 1,250 orang sehingga tengah hari ini berbanding 735 orang pagi ini.


Ia melibatkan kawasan Batu Berendam, Tanjung Minyak, Tengkera, Tiang Dua, Melaka Tengah, Kandang, Malim, Bukit Baru dan Taman Angkasanuri.


Di daerah Jasin, bilangan mangsa yang dipindahkan tengah hari ini turut meningkat kepada 1,725 orang berbanding 970 orang pagi ini.


Di KELANTAN, seramai 1,000 mangsa banjir mula dipindahkan dari beberapa buah kampung di Jajahan Gua Musang.


Kampung yang terbabit ialah Kampung Kerinting, Kampung Baru Hulu, Kampung Baru Hilir, Kampung Limau Kasturi dan Kampung Ciku Lima manakala di Bachok, lapan buah rumah musnah akibat angin kuat dan ombak besar, malam tadi.


Paras air Sungai Kelantan dan Sungai Golok juga dilaporkan semakin meningkat tengah hari ini tetapi belum melepasi bahaya dan masih bertahan pada paras waspada.


Kumpulan pertama seramai 463 orang daripada 93 keluarga di empat kampung sekitar bandar Gua Musang ditempatkan di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Gua Musang Satu pada kira-kira pukul 5 pagi.


Mereka adalah dari Kampung Bahru Hulu, Hilir, Tepi Sungai Chinda dan Setinggan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).


Seramai 270 orang turut dipindahkan ke pusat-pusat berhampiran mulai pukul 10 pagi ini dari beberapa tanah rancangan Felda termasuk di Chiku 7, Chiku 6, Chiku 5B , Chiku 3 dan di kawasan Limau Kasturi.


Jajahan itu dilanda banjir selepas hujan berterusan 24 jam di kawasan pedalaman mulai pukul 7 petang semalam dan keadaan dikhuatiri bertambah buruk.


Ketua Polis Daerah, Suprintendan Ahmad Sofian Md Yasin berkata, hujan lebat itu menyebabkan air Sungai Galas dan Ketil melimpahi tebing.


Katanya, dua batang jalan utama ke bandar Gua Musang juga ditutup kepada semua kenderaan iaitu Jalan Kampung Tiong dan Jalan Pekan Lama yang dinaiki air lebih satu meter.


Jalan Paloh Satu ke Lebir juga ditutup kepada semua kenderaan manakala di Kampung Miak berlaku jalan mendap.


Paras air Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah pada pukul 4 petang ini mencatatkan bacaan 22.63 meter (waspada 21.50 meter/bahaya 23.50 meter).


Paras air sungai yang sama di Rantau Panjang juga sudah melepasi paras waspada itu iaitu 7.54 meter (waspada 7 meter/bahaya 9 meter).


Juga paras air di Sungai Galas di Dabong yang mencatatkan bacaan 30.89 meter (waspada 32 meter/bahaya 38 meter). Turut melepasi jauh paras waspada ialah di Kusial iaitu 14.11 meter (12 meter/bahaya 16 meter).


Bacaan air sungai itu di Tualang kini 31.28 meter (waspada 27 meter/bahaya 35 meter) manakala bacaan satu lagi tempat di hulu sungai itu di Tangga Krai, Kuala Krai ialah 23.17 meter (waspada 20 meter/bahaya 25 meter).


Di PAHANG, situasi banjir di negeri itu semakin buruk apabila jumlah mangsa yang dipindahkan melebihi 2,000 orang dari tiga daerah yang terjejas teruk iaitu Rompin, Maran dan Kuantan sehingga petang ini.


Menurut jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin, seramai 1,251 orang dari 13 kawasan di daerah itu telah pun dipindahkan ke beberapa pusat perpindahan banjir.


Antara kawasan yang terbabit di daerah berkenaan ialah Ladang Yayasan, Kampung Mentalong, Kampung Rekoh dan Kampung Kurnia.


Jurucakap IPD Kuantan pula berkata, seramai 453 orang telah dipindahkan setakat pukul 5 petang ini.


Antara kawasan yang terbabit di Kuantan ialah Taman Satelit, Beserah, Sungai Karang, Pancing, Lubuk Puyu dan Kampung Sungai Isap serta Sungai Lembing.


Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Panching, Datuk Abdul Manan Ismail, seramai 159 orang dari kawasan terbabit dipindahkan ke tiga pusat pemindahan di kawasan itu.


Air mulai naik tengah malam tadi dan kerja-kerja perpindahan bermula sepanjang malam sehingga ke pagi hari, katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.


Kata beliau, pihaknya bimbang keadaan akan menjadi lebih buruk pada malam ini memandangkan air Sungai Kuantan memperlihatkan tanda-tanda akan melimpah.


Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Pahang, Abdul Wahab Mat Yassin berkata, kesemua 830 anggota bomba di seluruh negeri diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dan sebahagian pula digerakkan untuk membantu mangsa banjir.


Di TERENGGANU, sekurang-kurangnya empat buah rumah roboh dan beberapa lagi hampir musnah dipukul ombak besar berikutan air pasang besar serta angin kencang di pantai Kampung Kuala Ibai di sini, malam tadi.


Keadaan cuaca yang tidak menentu itu telah menyebabkan sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) terpaksa berpatah balik ke Kuala Lumpur kerana gagal mendarat di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.


~~
patutkah aku menggelar bulan Disember sebagai bulan yg basah??ataupun bulan yang mati??hmm..



__________________
"nama saya Rain~"


Super Member

Status: Offline
Posts: 1719
Date:


KUALA LUMPUR 22 Dis. – Saintis tempatan percaya perubahan cuaca sekarang disebabkan oleh fenomena pemanasan global, sekali gus memberi kesan ketara termasuk kejadian banjir di negara ini.


Pengarah Pusat Perubahan Cuaca Universiti Malaya (UMCCA), Profesor Khairul Maini Osman Salleh berkata, fenomena itu telah mempergiatkan proses-proses cuaca sehingga menyebabkan berlaku pelbagai perubahan yang mendadak dalam tempoh masa yang tidak menentu.


“Jika dahulu, ia tidak begitu kerap, kejadian seperti ribut pasir, taufan, puting beliung dan sebagainya lazimnya berlaku dalam tempoh 100 tahun.


“Tetapi kini, dalam tempoh lima tahun sahaja, semua kejadian alam itu telah berlaku dengan lebih kerap lagi dan dalam tempoh masa yang tidak menentu, iaitu sama ada secara berpanjangan atau sementara,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.


Beliau yang juga pensyarah di Jabatan Geografi UM diminta mengulas mengenai fenomena banjir yang melanda di beberapa buah negeri termasuk Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu dan Kelantan.


Khairul Maini berkata, kejadian banjir yang berlaku ini memang sukar diramal oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) walaupun terdapat data-data tertentu yang menyokong kemungkinan perubahan cuaca akan berlaku.


“Berlakunya banjir itu lazimnya berpunca dari tiga sebab iaitu limpahan dari tebing sungai, banjir akibat fenomena pasang surut dan banjir kilat akibat kesan pembangunan tanah yang pesat sehingga menyebabkan ada kawasan tidak telap air.


“Jika merujuk kepada Johor Bahru, kadar hujan yang tinggi disebabkan pemanasan global, ditambah lagi sistem pengairan dan saliran yang kurang memuaskan akibat pembangunan yang pesat menyebabkan bandar itu mengalami banjir yang teruk.


“Jumlah penduduk yang bertambah ramai dan terletak di kawasan perairan laut menyebabkan kesannya dirasai dengan begitu teruk sekali,” katanya.


Peningkatan suhu global boleh menyebabkan berlaku perubahan pada tabiat alam, termasuk peningkatan paras air laut dan cuaca yang ekstrem seperti banjir, kemarau, gelombang panas, ribut taufan dan puting beliung. (Maklumat lanjut mengenai Pemanasan Global rujuk http:// en.wikipedia.org/wiki/Global_warming)


Menurut Khairul Maini lagi, berbanding negara-negara maju yang lain terutamanya Amerika Syarikat (AS), negara ini mengambil berat mengenai fenomena pemanasan global dengan menyokong Konvensyen Kyoto mengenai Kesan Rumah Hijau.


“AS misalnya, tidak mahu mengakui, apa lagi mengawal aktiviti pembakaran bahan fosil mereka menyebabkan fenomena ini bertambah teruk.


“Berbanding negara kita, kita mengambil pelbagai langkah dan peraturan mengawal tetapi oleh kerana fenomena ini melanda di peringkat global, sedikit sebanyak negara ini turut menerima kesannya.


“Ini termasuk pencairan glasier dan salji di kutub yang meningkatkan paras air laut, seterusnya menyebabkan berlaku banjir di daratan,” katanya.


Sementara itu, pengkaji cuaca di Jabatan Meteorologi di sini hari ini memberitahu, hujan lebat dan ribut petir dijangka berlarutan di Lembah Klang sehingga Selasa ini.


“Hutan lebat dan angin yang kini menjejaskan negeri di Pantai Timur dan Johor dijangka menyebabkan hujan lebat di Lembah Klang dan kawasan sekitarnya.


“Pada amnya, cuaca akan mendung di sebelah pagi sementara hujan lebat diramalkan pada petang dan malam, tetapi saya menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengikuti laporan cuaca,” katanya.


Kawasan yang diklasifikasikan dengan amaran peringkat Merah ialah di kawasan yang dilanda banjir; Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Pahang.


Peringkat Merah ialah hujan lebat berterusan. Ia akan berlaku di negeri-negeri itu sehingga Ahad ini.


Laman web jabatan itu turut memberi amaran bahawa angin kencang dengan kelajuan berkekalan sekurang-kurang 60 kilometer sejam yang berlaku sekarang boleh menyebabkan atap jerami atau rumbia dan zink boleh diterbangkan angin.


Peramal cuaca JMM turut berkata angin Timur Laut kini bergerak pada 60 hingga 70 kilometer sejam, dengan ombak setinggi 4.5 dan 5.5 meter manakala keadaan laut bergelora dan berbahaya untuk semua aktiviti marin, termasuk bot nelayan bersaiz kecil dan sederhana.


Sementara itu di Johor, sehingga pagi ini, seramai 64,742 mangsa banjir di seluruh Johor masih berada di 210 pusat penempatan sementara.


Takungan air di empangan-empangan di negeri itu juga kini mencapai paras bahaya.


Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, kerajaan negeri sehingga kini tidak bertindak melepaskan air daripada empangan terbabit sebaliknya membiarkannya melimpah sendiri apabila mencapai paras tertinggi.


Di Kelantan, jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri di Kota Darul Naim berkata, penduduk di tebing Sungai Kelantan dan Sungai Golok di Rantau Panjang dinasihati mengambil langkah bersiap sedia berikutan peningkatan ketara paras air di dua sungai tersebut.


Di Pahang, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 3,763 orang dengan daerah Kuantan mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 2,092 orang yang ditempatkan di 14 pusat pemindahan sehingga pukul 9 pagi ini.



~~
sabarlah mangsa banjir ye..



__________________
"nama saya Rain~"
Page 1 of 1  sorted by
 
Quick Reply

Please log in to post quick replies.

Tweet this page Post to Digg Post to Del.icio.us


Create your own FREE Forum
Report Abuse
Powered by ActiveBoard