Members Login
Username 
 
Password 
    Remember Me  
Post Info TOPIC: cereka SEJARAH


Super Member

Status: Offline
Posts: 1439
Date:
cereka SEJARAH


TIJAH!’ Laung Milah separuh kesukaan.
‘Milah!’ Balas Tijah menempik skala nyaring yang sama.
Gerai di sisi jalan daerah Kampung Baru itu menemukan dua sahabat lama, mungkin seteru juga.
‘Sejak keluar sekolah, kita tak pernah jumpa. Masyaallah kau masih ramping.’ Tijah memuji Milah. Dan Milah mengerdip mata tanda suka dipuja, tanda ria berjumpa, tanda girang sentiasa.

‘Kau tak jadi kahwin dengan Adib ya?’ Tanya Milah terkekeh ketawa.
Darah menyerbu ke muka Tijah. ‘Arghh, cerita lama!’
Mereka bergesel pipi lagi, memeluk mendakap lagi tanpa peduli orang memerhati di pinggir jalan drama kehidupan.
Tijah menatap Milah. Mata itu masih kuyu, hidung itu masih terpatuk, bibir itu masih penuh merah dan sinar kejelitaan masih terpancar. Milah merenung Tijah. Mata yang kekal bulat, hidung yang kekal pesek, bibir yang kekal mongel dan cahaya keayuan kekal terserlah.
Mereka menyanyah entah apa, tentang berseteru berebut teman lelaki di sekolah, tentang alam universiti yang banyak warnanya, tentang suami yang malas atau buncit perutnya, tentang anak-anak yang leka dengan kotak televisyen dan merosot mutu pelajarannya, tentang umrah berapa tahun sekali sebelum Milah bersuara seakan tidak percaya, ‘Kau kerjakan sarjana dalam bidang sejarah di UKM?’
Tijah juga membalas separuh terpinga, ‘Kau juga kerjakan sarjana dalam disiplin sejarah di UKM?’
‘Oh Tuhan!’ Keluh mereka bersama.
‘Bagaimana kita boleh tak berjumpa?’
‘Aku kerjakan disertasi.’
‘Dan aku juga.’
Kemudian mereka nyaris bertempik lagi kerana penyelia akademik orang yang sama.
‘Sudah semester ketiga, bagaimana terlepas pandang.’
‘Dan kita terserempak di Kampung Baru!’
Kedua-dua gelak ria. Mereka mengambil lauk pauk, tidak menghiraukan lalat yang menghurung sekali-sekala pada ikan sepat bakar, tak endahkan bau longkang menyenak masuk, juga jerkahan manja mak menti bersimpang siur di jalanan. Mereka dua sahabat lama terpisah ditemukan dengan cara yang penuh keajaiban Tuhan.
‘Kalau lewat sedikit nyaris kita tak bertemu, aku dah kecewa tiada tempat untuk meletak kenderaan. Mahu pergi sahaja.’ Kata Milah mengiyakan.
Milah dan Tijah dua sarjana bertemu. Mereka dahulu memang saling berdebat, punya idea masing-masing, sering berlainan mazhab pendapat.
‘Apa metodolgi kajianmu?’ Tanya Milah kepada Tijah, seakan mengendus perbezaan fikiran masih berlangsung sampai ke hari ini.
“Metodologi logik.” Balas Tijah selamba.
Terbelalak mata Milah. Dan Tijah bangga menjelakan, ‘Di dunia Arab, tokoh pemikirnya ialah Dr. Tariq al-Bashari. Dr Tariq melihat sejarah sebagai kenyataan, peristiwa, watak dan fakta sejarah dalam melakukan penelitian. Pembangunan tanahair, perkembangan budaya, seni dan politik misalnya mestilah berasaskan realiti semasa. Sejarah menurut Dr Tariq, jika ditulis atau ditekuni semula mestilah tidak menyebabkan kita ‘terikat oleh lingkaran yang telah lalu dan terbenam dalam lipatan sejarah’ sebaliknya mestilah ‘membuatkan kita memandang ke hadapan’.
Milah hela nafas, rasa seperti tulang ikan tersengkang pada kerongkong.
Tijah melanjutkan, ‘Salah seorang sarjana dalam kelompok ini, Profesor Sayyid Yassin melarang pengarang atau masyarakat membaca apatah lagi menafsir teks-teks sastera agung, kitab-kitab ulama muktabar kerana disifatkan sebagai sumber bacaan raj’iyyah (yang menyebabkan kemunduran). Kalau menulis tafsiran baru bertitik tolak dari karya ini dianggap meniru, meniru dan meniru.’
‘Astaghfirullah.’ Seru Milah dalam hati.
‘Andai menilai novel sejarah, novel itu diukur berdasarkan peristiwa sejarah, menghidupkan watak-watak sejarah yang dapat dikesan kewujudannya, dengan latar waktu dan latar tempat yang dapat dibuktikan dalam sejarah atau bertepatan dengan peristiwa yang sebenar. Novel yang hanya memuatkan tokoh sejarah tetapi tidak berperanan dalam peristiwa sejarah, dan novel yang memaparkan peristiwa sejarah dengan watak-watak rekaan mengambil alih peranan watak sejarah, tidak dianggap sebagai novel sejarah.’
‘Ohhh.’ Itu sahaja terpancut dari mulut Milah. Nasi dielan dan Milah rasa mahu membela metodologi mithali yang diguna pakainya.
‘Itu konsep dan definisi yang sempit dan terkongkong. Lapuk. Ini racun Barat sampaikan silibus sejarah di sekolah dan skima pemarkahan subjek sejarah pun dalam kerangka yang purba ini.’
Tijah mendengar. Pasang telinga.
‘Sheikh Yusuf al-Qardawi secara tidak langsung telah pun menjawab secara panjang lebar kelompok yang berpegang kepada fahaman sejarah seumpama ini, yang tertakluk pada fakta, peristiwa dan watak sejarah dalam bukunya al-Ummah al-Islamiyyah: Haqiqatun la wahmun.’
‘Ohhh.’ Giliran Tijah melongo. Menyedut sirap bandung cair dengan straw.
Milah rasa bersemangat, ‘Sesuatu hakikat yang kurang difahami oleh ramai hari ini, bahana pemikiran sekular produk penjajahan, bahawa dahulu, seorang sejarawan adalah juga seorang faqih. Imam Abu Ja’far al-Tabari, sejarawan yang terkenal itu adalah seorang ulama terbilang. Ibnu Khaldun yang sering dirujuk-rujuk Mukaddimahnya itu bukan sejarawan semata tetapi adalah ulama mazhab Maliki yang amat masyhur dan pernah menjadi kadhi di mahkamah syar’iyah. Sheikh Yusuf al-Qardawi mencadangkan pendekatan mithali dalam menilai sejarah. Komponen sejarah adalah tarikh, peristiwa, tokoh, ideologi dan pengajaran. Yang harus ditekankan bukanlah tarikh, peristiwa mahupun latar zaman. Bagi beliau itu sekadar perkara sampingan, hanya sarung penampilan dan bukan sesuatu yang harus ditekankan. Yang harus dibangkitkan ialah intipati, isi sejarah yang terpancar pada komponen ideologi dan pengajaran. Kiblatnya ialah al-Quran dan hadis. Al-Quran menyogokkan peristiwa-peristiwa sejarah tanpa menyuguhkan tarikh, mahupun peristiwa secara terperinci. Watak sejarah yang hadir seperti Lukman malah tidak diberitahu adalah seorang ahli hikmah yang berkulit hitam. Bahkan metodologi sejarah menurut al-Quran, tidak ditekankan langsung urutan zaman atau latar sejarahnya. Kita tertanya-tanya apakah Lukman dalam surah ke 31 itu seorang saudagar, hakim atau Nabi. Yang hanya dipandu dan dipantakkan ialah pengajaran dan nasihat Lukman sebagai asas pendidikan remaja dan anak-anak.’
Tijah senyum terkena.
Milah menambah, ‘Sejarah terdiri dari empat komponen utama. Tarikh, peristiwa, idelogi dan taujih atau pengajaran. Penumpuan pada kebenaran tarikh, peristiwa dan tokoh itu pendekatan Barat. Islam menekankan darurat khams, lima komponen yang wajib dipelihara dan dipagari menurut ajaran Islam oleh ulama dan pemerintah iaitu agama, jiwa, akal, keturunan dan harta benda. Sejarah melihat hal-hal inilah. Sejarah kita bangkitkan semula untuk menjaga benda-benda inilah juga.’
Tijah hela nafas. Milah tarik nafas.
Masing-masing menyudahkan makan tengahari dan kemudian kembali bercerita tentang suami dengan perut ke hadapan, tentang anak-anak yang nakal berteman-teman saat belum masanya, tentang berapa banyak lawatan ke luar negara tahun-tahun sebelum dan tentang produk kecantikan mana paling bersesuaian.
Saat azan zohor berkumandang dari Masjid Jami’ mereka usaikan perbualan, berangkat untuk pulang dan bertukaran nombor telefon bimbit, berjanji untuk berbahas lagi.
‘Tentang apa?’ Tanya Milah.
‘Tentang cereka sejarah.’ Sahut Tijah mengulum senyum.
Mereka bubar setelah bergesel pipi sekali lagi


__________________

saya takde facebook nak FACE TO FACE je..

Page 1 of 1  sorted by
 
Quick Reply

Please log in to post quick replies.

Tweet this page Post to Digg Post to Del.icio.us


Create your own FREE Forum
Report Abuse
Powered by ActiveBoard