"Pandai Pak Pandir! Anak dipijak dagang dijunjung Kucing dibunuh, tikus dibela Harta habis badan tergadai!
Mendengar gelegak dagang, Tak sedar bertelanjang; Mendengar guruh di langit Air tempayan dicurahkan
Mulut kena suap pisang, Buntut kena cangkok onak Gunting makan di hujung Pak pandir juga yang menanggung..
Apa didengar gelagak dagang? Gelagak rambutan jantan Orang berbunga dia berbunga Orang berbuah dia haram.
Kilat memancar hujan tak lalu.. Awak juga kecundangan....
------------------------ MAKSUD SELOKA PAK PANDIR
Pak Pandir mengutamakan orang asing tetapi anak sendiri terbiar dan tidak diberi perhatian sewajarnya. Pak Pandir membunuh kucing tetapi tikus yang kotor dan tidak berguna dibela. Semua harta miliknya tergadai kerana percaya akan cakap orang asing. Pak Pandir akhirnya tidak memiliki apa-apa lagi. Dirinyapun bertelanjang. Apa-apa sahaja yang ada dibazirkan semata-mata mendengar berita yang belum pasti.
Sebenarnya, Pak Pandir ditipu dalam baik tanpa disedarinya. Akhirnya, dia terpaksa menanggung nasib malang. Pak Pandir suka mendengar kata-kata manis orang luar sebagaimana sifat pokok rambutan jantan yang boleh berbunga tetapi tidak boleh berbuah. Sesuatu yang diheboh-hebohkan belum tentu berlaku, sebagaimana kilat memancar di langit tetapi hujan tidak turun.
Tema dan Persoalan
Tema seloka ini ialah sindiran terhadap manusia yang mengutamakan orang lain atau melakukan sesuatu yang akan merugikan diri sendiri. Persoalan-persoalan lain seloka ini ialah: kebodohan merugikan diri sendiri, sikap tamak membawa rugi, sikap suka meniru orang lain tanpa menyedari kebolehan diri sendiri, watak dungu masyarakat Melayu, jangan percaya kepada khabar angin yang belum tentu benarnya, dan utamakanlah anggota keluarga sendiri sebelum memberi layanan istimewa kepada orang lain.
Nilai dan Pengajaran
i. Janganlah kita melakukan perkara yang sia-sia. ii. Kita tidak harus mengutamakan orang dagang sehinggakan keluarga sendiri diketepikan. iii. Amalkan sikap waras dalam kehidupan. iv. Kita hendaklah berhati-hati ketika melakukan sesuatu pekerjaan. v. Jangan mudah terpedaya dengan janji-janji manis orang yang tidak kita kenali.
Semoga direnung-renungkan.
__________________
Sayang..Jangan ditanya sebanyak mana pengorbanan yang telah aku lakukan.... Kerana aku sendiri tidak pernah mengiranya... Tetapi, Seandai pengorbanan itu tak dihargai... Perlukah aku berkorban lagi sayang????