Firman Allah s.w.t: Apakah kamu tidak memperhatikan orang yang mendebat Ibrahim tentang Tuhannya (Allah) kerana Allah telah memberikan kepada orang itu pemerintahan (kekuasaan).
Ketika Ibrahim mengatakan: Tuhanku ialah yang menghidupkan dan mematikan. Orang itu berkata: Saya dapat menghidupkan dan mematikan. Ibrahim berkata: Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, Maka terbitkanlah dia dari barat, lalu terdiamlah orang kafir itu; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim. (al-Baqarah: 258)
SYEIKH Sya'rawi berkata: "Sesungguhnya pengikut- pengikut Thaghut dan Thaghut dalam neraka jahanam. Semoga Allah memeliharakan kita dari azab-Nya. Allah menghendaki untuk menggambarkan pada kami sebagai gambaran realiti berkenaan dengan alam".
Firman Allah: Apakah kamu tidak memperhatikan orang yang mendebat Ibrahim tentang Tuhannya (Allah) kerana Allah telah memberikan kepada orang itu pemerintahan (kekuasaan).
Sayyid Qutub berkata: "Raja yang berdebat dengan Ibrahim mengenai Tuhannya itu bukanlah menolak kewujudan Allah s.w.t, akan tetapi ia hanya menolak Wahdaniah Allah dari segi Uluhiah dan Rububiah. Juga menolak pentadbiran dan pengurusan- Nya yang tunggal terhadap perjalanan alam buana ini".
Samalah dengan setengah-setengah golongan sesat di zaman jahiliah yang mengiktirafkan kewujudan Allah, tetapi mereka mengadakan tuhan-tuhan tandingan bagi Allah dan kepada tuhan-tuhan inilah mereka hubungkan sesuatu aktiviti atau amalan di dalam hidup mereka.
Raja itu juga menolak bahawa hak hakimiah atau hak memerintah itu adalah milik Allah yang Maha Esa sahaja. Tiada undang-undang melainkan undang-undang Allah dalam segala urusan hidup di bumi dan di dalam perundangan masyarakat.
Raja yang menolak wahdaniah Allah yang degil itu berbuat demikian kerana sesuatu sebab yang sepatutnya dia beriman dan bersyukur. Sebab itu ialah Allah mengurniakan pemerintahan kepadanya dan meletakkan kuasa di tangannya. Sepatutnya dia bersyukur dan mengakui Wahdaniah Allah, tetapi kuasa telah membuat orang yang tidak menghargai nikmat Allah dan tidak memahami sumber pemberian itu menjadi manusia yang melampau dan angkuh.
Oleh sebab itulah mereka meletakkan kekufuran di tempat kesyukuran dan menjadi sesat dengan sebab yang seharusnya mereka boleh menjadi mukmin. Mereka dapat menjadi pemerintah kerana Allah mengangkat mereka menjadi pemerintah, tetapi Allah tidak membenarkan mereka memperhambakan orang ramai dengan memaksa mereka mengikut undung-undang yang dibuat oleh mereka, sedangkan mereka juga bersifat hamba seperti orang ramai.
Mereka seharusnya menerima undang-undang atau syariat Allah dan tidak membuat undang-undang sendiri selain syariat Allah, kerana mereka hanya khalifah atau wakil pemerintah bukannya pemerintah yang sebenar.
Sayyid Qutub berkata: "Apakah tidak engkau melihat? Itulah pertanyaan yang mengandungi maksud mengeji dan memburukkan. Bantahan dan kecaman itu tercetus dari susunan kalimat pertanyaan ini sendiri dan susunan maknanya. Perbuatan itu adalah satu perbuatan yang sungguh keji.
"Adalah tidak wajar bagi seseorang berdebat dan membantah dengan sebab nikmat dan kurnia. Adalah tidak wajar bagi seseorang hamba mendakwa mempunyai sesuatu kuasa dari ikhtisas Allah. Adalah tidak wajar bagi seseorang pemerintah memerintah manusia dengan hawa nafsunya tanpa mengambil undang-undang dari Allah".
Firman Allah: Ketika Ibrahim mengatakan: Tuhanku ialah yang menghidupkan dan mematikan.
Al-Baghawi berkata: "Peristiwa ini berlaku mengikut sebahagian ulama selepas daripada Ibrahim dicampakkan ke dalam api."
Sayyid Qutub berkata: "Kerja-kerja menghidup dan mematikan merupakan dua gejala yang berulang-ulang kali berlaku pada setiap saat dan sentiasa terdedah kepada perasaan dan akal manusia. Tetapi di dalam waktu yang sama kedua-duanya merupakan rahsia yang membingungkan mereka.
Hakikat mati
"Akal manusia terpaksa merujuk rahsia ini kepada sumber yang lain yang bukan bersifat manusia dan kepada urusan yang lain dari urusan para makhluk. Mereka pasti menunjukkan rahsia ini kepada Allah yang berkuasa mencipta dan memusnahkan untuk menghuraikan teka-teki yang melemahkan sekalian yang hidup".
Kita tidak mengetahui sesuatu apa pun mengenai hakikat hidup dan hakikat mati sehingga ke saat ini, tetapi kita hanya memahami gejala-gejalanya sahaja pada yang hidup dan yang mati. Kita terpaksa menyerahkan sumber hidup dan mati ini kepada sesuatu kuasa yang bukan dari jenis kuasa-kuasa yang kita mengetahui seluruhnya, iaitu kuasa Allah.
Oleh sebab itulah Ibrahim a.s memperkenalkan Tuhannya (kepada raja itu) dengan sifat yang tidak ada pada sesiapa pun dan tidak boleh didakwa oleh sesiapapun apabila raja itu bertanya beliau: "Siapakah Tuhan yang menjadi sumber hukum dan undang-undang itu?" Ibrahim menjawab: "Tuhanku yang menghidup dan yang mematikan. Oleh kerana itu Dialah juga yang berhak memerintah dan mengatur undang-undang" .
Sebagai seorang Rasul yang dikurniakan kebolehan laduni sebagaimana telah kami terangkan di permulaan juzuk ini, tentulah Ibrahim a.s. tidak bermaksud dengan sifat menghidup dan mematikan itu ialah semata-mata untuk menyatakan kerja menghidup dan mematikan itu sahaja kerana kerja ini memanglah kerja Allah yang Maha Esa yang tiada siapapun dari makhluk-nya yang turut mengambil bahagian dalam kerja itu.
Namun raja yang berdebat dengan Ibrahim mengenai Tuhannya itu telah memandang dirinya mempunyai sifat tuhan kerana dia memerintah kaumnya dan berkuasa menghukumkan mereka hidup atau mati dan kerana itu dia berkata kepada Ibrahim: "Aku penghulu mereka dan akulah yang mentadbirkan segala urusan mereka dan kerana itu maka akulah tuhan yang engkau wajib patuhi segala perintah dan hukumnya".
Firman Allah: Ibrahim berkata: Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, Maka terbitkanlah dia dari barat, lalu terdiamlah orang kafir itu; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.
Al-Nasafi berkata: "Ini bukanlah dengan melarikan hujah kepada hujah yang lain seperti sangkaan sebahagian kerana hujah pertama lazim yang sudah sempurna. Tetapi apabila musuh yang laknat enggan dengan hujah menghidupkan dengan cara membebaskan orang yang sepatutnya dibunuh, maka dialih hujah yang lain kerana kebodohan mereka".
Al-Maghari berkata: "Allah tidak memberi hidayat kepada yang berpaling daripada menerimanya dan yang tidak melihat kepada dalil untuk menyampaikan kepada makrifat yang sebenar".
Ibnu Jauzi berpendapat dengan makna 'orang kafir' dan kata Muqatil pula dengan makna 'dia tidak diberi hidayat untuk berhujah. Yakni Namruz'.
Iktibar Ayat
* Kelebihan Nabi Allah Ibrahim sebagai Rasul Ulul Azmi.
* Berhujah diharuskan untuk menegakkan kebenaran dalam menyampaikan dakwah.
* Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.
__________________
Sayang..Jangan ditanya sebanyak mana pengorbanan yang telah aku lakukan.... Kerana aku sendiri tidak pernah mengiranya... Tetapi, Seandai pengorbanan itu tak dihargai... Perlukah aku berkorban lagi sayang????