SIASATanggota polis memeriksa mayat Yap yang dipercayai dibunuh. |
GOMBAK: Seorang lelaki yang menjalin hubungan dengan seorang wanita warga Indonesia yang sudah bersuami mengundang padah apabila dia dipercayai diserang dan ditetak dengan parang hingga hampir putus pergelangan tangan, pagi semalam.
Ketika kejadian jam 4.20 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Yap Voon Kiat, 21, dalam perjalanan menghantar teman wanitanya itu ke rumah sewa di Kampung Melayu Sungai Buloh, dekat sini, sebelum diserang sekumpulan lelaki dipercayai suami kepada teman wanita mangsa.
Serangan menggunakan parang itu menyebabkan tengkorak belakang kepala mangsa pecah manakala pergelangan kedua-dua tangannya hampir putus dipercayai cuba mempertahankan diri.
Mayat mangsa dijumpai terbaring berlumuran darah oleh seorang orang awam yang melalui kawasan itu.
Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berkata mangsa dipercayai dipukul di kepala dari belakang menyebabkan tengkoraknya pecah serta di tetak di pergelangan tangan hingga hampir putus menggunakan senjata tajam.
Siasatan awal mendapati mangsa menjalani hubungan sulit dengan seorang wanita Indonesia yang sudah berkahwin dan sering keluar bersama.
Wanita terbabit bekerja di kilang yang sama dengan mangsa dan polis tidak menolak kemungkinan dia diserang suami wanita itu yang cemburu apabila mengetahui hubungan sulit mereka berdua, katanya.
Menurutnya, pemeriksaan di kawasan kejadian tidak menemui senjata dan kini polis memburu pasangan Indonesia terbabit yang sudah melarikan diri.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis bagi membantu siasatan, katanya.
Mayat Yap kemudian dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat