Diceritakan dari sebuah kitab lama bahawa pada satu zaman iaitu zaman sebelum kelahiran Rasulullah S.A.W. terdapatlah seorang Wali Allah yang telah beribadat kepada Allah selama 500 tahun lamanya. Pada suatu hari setelah selesai beribadat kepada Allah Dia pun memohon doa kepada Allah agar dicabutkan nyawanya ketika Dia sedang bersujud kepada Allah S.W.T.
Lalu Allah pun memperkenankan doanya dengan mencabut nyawanya ketika Dia sedang bersujud kepada Allah. Maka Dia pun meninggal dunia ketika sedang bersujud. Dipendekkan ceritanya, Ketika malaikat sedang membawanya ke syurga, lalu malaikat itu pun bertanya kepadanya terlebih dahulu, "Wahai Wali Allah, pada fikiranmu, kenapakah engkau dapat masuk ke syurga Allah?" maka Wali Allah itu pun menjawab, " Ia adalah kerana amal ibadat yang aku lakukan selama 500 tahun". Kemudian Allah pun berfirman kepada malaikat itu agar membawa Wali Allah itu menghadap-Nya. Kemudian Allah sendiri bertanya kepada Wali Allah itu tadi, "Wahai hamba-Ku, pada fikiranmu, apakah sebabnya kamu dapat masuk ke syurga-Ku?' maka Wali Allah itu pun menjawab jawapan yang sama iaitu "Ia adalah kerana amal ibadat yang aku lakukan selama 500 tahun.
Lalu Allah pun berfirman, "jika begitu aku ingin menimbang amal ibadat 500 tahun yang kamu lakukan dengan hanya kurniaan-Ku sebelah biji mata yang ku berikan kepadamu, Manakah lebih berat." Maka setelah ditimbang, ternyatalah berat lagi kurniaan sebelah biji mata yang Allah kurniakan kepada Wali Allah itu. Maka Allah pun berfirman, "Wahai hamba-Ku, sesungguhnya kamu mendapat kurnia syurga-Ku bukanlah atas sebab amal ibadatmu selama 500 tahun itu, tetapi ia adalah kerana Rahmat dan kasih sayang-Ku terhadapmu. Sesungguhnya, amal ibadatmu 500 tahun itu, tidak mampu untuk membayar balik kurniaan sebelah biji mata mu yang Ku berikan kepadamu." Maka Allah pun memerintahkan malaikat itu tadi agar membawa Wali Allah tadi ke Neraka pula dan Dia pun dimasukkan ke dalam neraka atas sebab kejahilan dan kesombongannya.
Oleh itu, semoga kita dapat mengambil pelajaran daripada kisah ini tentang besarnya kurniaan Allah terhadap hamba-hamba-Nya, oleh itu kita sekali-kali tidak boleh bersikap megah dan bangga dengan ibadat yang telah kita lakukan kerana tanpa kurnia Allah, mana mungkin kita dapat beribadat, berkerja, belajar, dan sebagainya. Contohnya, sekiranya Allah tidak mengurniakan nikmat kesihatan, kesempurnaan akal, keamanan, dan nikmat tubuh badan seperti mata, telinga, lidah, tangan , kaki, dan sebagainya kepada Wali Allah tadi, tidak mungkin Ia dapat melakukan amal ibadat selama 500 tahun itu. Oleh itu jelaslah, oleh sebab kunia Allah lah kita dapat melakukan semua perkara yang bukan hanya beribadat, tetapi juga belajar, berkerja, bermain, dan lain-lainnya.
Sesungguhnya Iblis diusir keluar daripada syurga atas sebab sikap bongkaknya walaupun Iblis itu sebelum diusir adalah ketua kepada segala Para Malaikat dan oleh kerana kesombongannya itulah Ia enggan patuh kepada perintah Allah dengan tidak mahu bersujud kepada Nabi Allah Adam A.S. Allah pernah berfirman, "Sekiranya ada sebesar zarah sifat riak di dalam hatimu, sekali-kali kamu tidak akan dapat mencium Syurga-Ku". Maka ketahuilah, kita beramal ibadat bukanlah untuk mengharapkan Syurga Allah atau kerana takutkan azab siksa Neraka Allah, tetapi adalah kerana mengharapkan Rahmat dan Redha Allah terhadap kita, mengharapkan kasih sayang dan keampunan-Nya kerana Dia telah memberikan kita pelbagai nikmat dan kurnia-Nya kepada kita.
Tokoh Wali Sufi, iaitu Rabbiatul Addawiyyah pernah berdoa kepada Allah S.W.T. "Ya Allah, sekiranya solatku, ibadatku, hidup dan matiku, hanya kerana mengharapkan nikmat Syurga-Mu, maka bermula pada hari ini, engkau haramilah aku menjejaki Syurga-Mu. Sekiranya solatku, ibadatku, hidup dan matiku, kerana takut akan azab siksa neraka-Mu, maka bakarlah aku ke dalam api neraka-Mu. Dan sekiranya, solatku, ibadatku, hidup dan matiku semata-mata hanyalah kerana-Mu Ya Allah, maka janganlah kamu jadikan hijab pada pandangan mataku untuk melihat kesucian wajah-Mu pada hari akhirat nanti Ya Allah. Maka jelaslah keikhlasan Rabbiatul Addawiyyah di dalam hidup dan matinya, solat dan ibadatnya, semata-mata hanyalah kerana Allah sehingga Ia diangkat darjatnya menjadi Tokoh Wali Sufi. Oleh itu, fikirkanlah, sekiranya Allah tidak menjadikan Syurga dan Neraka, tidak layakkah Allah disembah sebagai Tuhan yang Esa?
terima kasih ler adik mohd saiful ... citer wali ni ... aku dah pernah dengar dah ... dalam majlis ilmu ... lama gak dah ... apa2 pon terima kasih kerana sudi join apa yg adik tahu ....