Tiga orang lelaki yang terlibat dalam jenayah berat dihukum penjara 20 tahun setiap seorang. Mereka dibenarkan membawa bersama ke penjara satu barang kesayangan masing-masing. Lelaki pertama meminta sejumlah buku. Manakala lelaki kedua mahukan isterinya dan lelaki ketiga meminta berkarton-karton rokok.
Setelah berakhir hukuman, sel lelaki pertama dibuka, dia keluar dengan semangat baru. “Ah… lega. Dua puluh tahun aku belajar bersungguh-sungguh. Tengoklah nanti, akulah peguam terhandal di negeri ini,” katanya.
Kemudian pintu sel kedua dibuka. Keluar lelaki kedua bersama isterinya dan lima orang anak. “Uhh… 20 tahun saat paling indah dalam hidup. Lihatlah buktinya, sebuah keluarga yang sempurna,” katanya dengan wajah ceria.
Apabila pintu sel ketiga dibuka, lelaki itu keluar sambil meraba-raba kocek baju dan seluarnya. Dia kemudian bertanya pegawai penjara di sisinya. “Ada mancis tak?”
Ada seorang lelaki tua yang berasal dari Jengka, menulis surat kepada anaknya yang menjadi tahanan di penjara tentera Jepun di Pekan kerana dituduh terlibat dalam menentang Jepun.
Bunyinya: “Hasan, bapamu ini sudah tua, sekarang sedang musim tanam jagung, dan kamu ditahan di penjara pula. Siapa yang mau bantu bapak mencangkul kebun jagung ini?”
Anaknya membalas surat itu beberapa minggu kemudian. “Demi Tuhan, jangan dicangkul kebun itu, saya tanam senjata di sana,” kata si anak dalam surat itu.
Rupanya surat itu disensor oleh pihak Jepun, maka keesokan harinya setelah si bapak terima surat, datang satu platun tentera dari Pekan. Tanpa banyak bicara mereka segera ke kebun jagung dan seharian mencangkul tanah di kebun tersebut. Setelah mereka pergi, kembali si bapak menulis surat kepada anaknya.
“Hasan, setelah bapak terima suratmu, datang satu platun tentera mencari senjata di kebun jagung kita, namun tidak berhasil. Apa yang harus bapak lakukan sekarang?”
Si anak kembali membalas surat tersebut, “Sekarang bapak mulalah menanam jagung saja, kan tanah tu sudah dicangkul oleh tentera, dan jangan lupa mengucapkan terima kasih kepada mereka.”