DARIPADA Salmat al-Akwaa’ bahawasanya seorang lelaki makan di sisi Rasulullah SAW dengan tangan kiri lalu Baginda menegurnya dengan bersabda bermaksud: “Makanlah dengan menggunakan tangan kananmu.”
Lelaki itu menjawab: “Aku tidak berupaya berbuat demikian.” Baginda bersabda lagi:”
Kamu tidak berupaya? Sebenarnya tidak ada sesuatu yang menghalang kamu daripada berbuat demikian melainkan kerana didorong oleh perasaan sombong.”
Salmat berkata: ”Orang itu akhirnya tidak dapat mengangkat tangan kanan ke mulutnya (cacat selamanya).” (Hadis riwayat Muslim)
Umat Islam dilarang menggunakan tangan kiri ketika makan atau minum kerana melambangkan sikap orang yang sombong.
Ketika melakukan kebajikan seperti sedekah, berwuduk dan sebagainya hendaklah dilakukan dengan menggunakan tangan kanan atau tangan kanan yang didulukan.
Sementara untuk hal berkaitan dengan aktiviti membersih kotoran hendaklah dilakukan dengan tangan kiri.
Selain itu, sesuatu perkataan yang dilafazkan oleh seseorang adalah seperti doa sama ada kepada diri sendiri mahupun orang lain.
Begitulah yang berlaku pada orang yang disebutkan dalam hadis di atas.
Justeru, nikmat yang dikurniakan Allah hendaklah digunakan dengan sebaik-baiknya kerana itulah tanda hamba yang bersyukur.
Petikan e-hadis, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
__________________
Buanglah kamu semua sampah di sekeliling kamu...............Sebelum kamu dibuang ke dalam semua tong sampah yg berada di sekeliling.........