surat ni aku jumpe atas meja pg td... tidak ade kena mengena ngan yg hidup atau yg sudah mati..
Kepada Sdra Pengantin,
Tahniah di atas perkahwinan sdr yang bakal menjelang. Kami kawan-kawan semuanya mengucapkan tahniah dan selamat berbahagia, serta semoga jodoh berpanjangan, dan insya Allah kami hadir di majlis saudara.
Bagaimanapun, setelah mengambil tahap kemeluatan rakyat Malaysia terhadap laporan-laporan media berkaitan persiapan perkahwinan beberapa 'celebrity' tempatan yang bakal berlangsung, sukacita kami mencadangkan kepada sdr dan bakal isteri agar tidak terjebak dalam perkara-perkara yang tidak senonoh seperti berikut:
(1) Sekiranya sdr bercadang mengadakan majlis perkahwinan di pusat-pusat persidangan seperti Kuala Lumpur Convention Centre, diharap sdr dapat memberi pertimbangan kepada pengguna-pengguna jalanraya di sekeliling tempat majlis itu diadakan. Besar harapan kami sekiranya sdr tidak menyekat atau mengubah laluan trafik, terutamanya ketika sdr mengadakan raptai penuh majlis perkahwinan pada hari dan masa orang-orang tengah sibuk nak pergi atau balik dari kerja.
(2) Kami tidak mempunyai halangan sekiranya sdr dan isteri mengimpikan majlis perkahwinan ala "Cinderella". Mana-mana pasangan pengantin juga berhak memilih tema-tema seperti "Beauty and The Beast", "Snow White & The Seven Dwarfs", "Happy Happy Puffy Amy Yumi", "PowerPuff Girls", "Courage The Cowardly Dog...Kami hanya memohon jasa baik sdr agar tidak menghuraikan impian sdr dengan panjang lebar dalam surat khabar, contohnya tentang gaun pengantin tujuh lapis, kek tujuh tingkat dengan bertangga, naik kereta kuda tujuh roda dan sebagainya. Sesungguhnya, dalam zaman di mana kita perlu memulihara alam sekitar, amat tidak wajar sekali banyak pokok terpaksa dikorbankan untuk diproses menjadi kertas suratkhabar, tetapi dicetak dengan cerita-cerita fantasi seperti itu.
(3) Sekiranya sdr dan isteri bertuah menerima tawaran mana-mana stesen televisyen agar majlis sdr disiarkan secara langsung di tv kelak, besar harapan kami sekiranya sdr memaklumkan stesen televisyen tersebut agar tidak membatalkan rancangan-rancangan lain yang lebih penting dan bermakna seperti EPL, CSI, dan Formula 1. Mujurlah Akademi Fantasia sudah selesai. Kalau tidak, harus pusingan Final AF terpaksa ditangguh semata-mata nak menyiarkan majlis perkahwinan sdr.
Jasa baik sdr dan bakal isteri dalam memberi pertimbangan yang adil dan sewajarnya kepada rayuan rakyat marhaen seperti kami amat kami alu-alukan dan didahului dengan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih.
Selamat menjadi Pengantin Baru (tanpa menyusahkan orang lain)!