FADHILAT RAMADHAN
Bulan Ramadhan atau dalam bahasa percakapan biasa disebut "Bulan Puasa"
menjelang lagi. Bulan ini bukanlah asing bagi umat Islam dan mereka
yang
cintakan bulan yang penuh kerahmatan dan keberkatan ini sememangnya
menunggu-nunggu akan ketibaannya.
Di dalam bulan Ramadhan, umat Islam diwajibkan menunaikan ibadah puasa,
sejajar dengan firman Allah S.W.T di dalam Al Quran Surah Al-Baqarah,
ayat
183-184:
Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa
sebagaimana diwajibkan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu
supaya kamu bertaqwa. Puasa itu diwajibkan dalam beberapa hari
tertentu.
Maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia
berbuka) maka hendaklah ia digantikan dengan hari-hari lain."
Sabda Nabi Muhammad S.A.W. yang bermaksud:
"Bahawa bulan Ramadhan itu adalah bulan yang diberkati Allah. Bulan
mengandungi Lailatulqadar, yang lebih baik daripada seribu bulan. Bulan
diwajibkan Allah ke atas hamba-Nya supaya berpuasa supaya bangun di
malam
hari untuk melakukan ibadah sunat. Sesiapa yang mengerjakan ibadah
sunat
dalam bulan ini, maka pahalanya sama dengan mereka yang mengerjakan
fardhu
di bulan lain."
"Agama Islam itu terbina dengan lima asas iaitu, membuat pengakuan
bahawa
tiada Tuhan yang lain, melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu
persuruh-Nya,
mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan
dan
mengerjakan haji di Baitullah."
"Semua amal kebajikan anak Adam itu untuk mereka sendiri kecuali puasa,
kerana puasa itu dilaksanakan untuk Aku semata-mata dan Aku akan
membalasnya. Sebenarnya puasa itu sebagai perisai. Apabila seseorang
itu
berpuasa maka janganlah ia bercakap kotor dan sekiranya ia dimaki maka
hendaklah ia berkata: aku berpuasa, aku puasa sebanyak dua kali. Demi
Allah
sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi
dari bau kasturi. Orang yang berpuasa itu akan mendapat dua kegembiraan
iaitu ketika berbuka dan ketika bertemu dengan Allah (di akhirat)."
"Apabila tiba bulan pertama Ramadhan, syaitan dan jin yang jahat
dibelenggu
dan tertutup semua pintu neraka dan terbuka semua pintu syurga dan pada
setiap malam ada seruan: Wahai orang-orang yang ingin baik, majulah;
wahai
orang yang ingin jahat, hentikanlah dan Allah memendekkan beberapa
banyak
daripada api neraka dan yang demikian itu pada setiap malam."
"Setiap manusia akan mendapat kebaikan selama mereka itu menyegerakan
berbuka puasa dan melewatkan sahur."
"Ramadhan bulan yang diwajibkan Allah puasa-Nya dan aku mencontohkan
kepada
kamu agar bangun sembahyang malam; maka siapa yang berpuasa dan
bersembahyang malam, benar-benar kerana iman dan mengharapkan pahala
daripada Allah akan keluar daripada dosa-dosanya bagaikan keadaan
ketika
dilahirkan daripada perut ibu."
"Orang yang zikir (ingat) kepada Allah pada Ramadhan akan diampunkan
baginya
dan orang yang meminta daripada Allah di dalamnya (Ramadhan) tidak akan
kecewa."
Ramadhan juga dikaitkan dengan bulan kesabaran kerana orang-orang yang
berpuasa bukan sahaja dituntut meninggalkan makan dan minum tetapi juga
menghindari daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa
termasuk menjauhi hubungan kelamin sesama suami isteri pada siang hari.
Kerana itu, sifat-sifat sabar sahaja yang menjamin kesempurnaan
orang-orang
Islam menunaikan puasa sebulan Ramadhan.
Sebagai ganjaran kepada kesabaran itu, Allah berfirman di dalam Surah
An-Nahl ayat 96 iaitu:
Maksudnya, "Dan sesungguhnya Kami akan memberikan kepada orang-orang
sabar dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka
kerjakan."
Yang Tersirat Di Sebalik Ramadhan dan Puasa*
Berdasarkan ayat-ayat al-Quran dan hadis, puasa Ramadhan mempunyai
kelebihan, hikmat atau fadhilat. Antaranya ialah:
Pintu neraka ditutup: Apabila seseorang itu benar-benar berpuasa, zahir
batin serta puasanya itu menyekat dirinya daripada melakukan maksiat
kejahatan.
Pintu syurga dibuka: Peluang yang besar bagi seseorang melakukan amalan
kebajikan yang boleh membawa kejayaan akhirat, menambah ketaqwaan
Allah dan setiap amalan kebajikan diberi ganjaran yang banyak.
Syaitan dikurung: Apabila seseorang berpuasa, syaitan dan iblis tidak
mempunyai peluang untuk menggoda dan menghasut manusia melalui hawa
nafsu
kerana puasa merupakan perisai yang dapat menangkis sebarang hasutan
dari
syaitan.
Malam Lailatulqadar: Salah satu kelebihan yang Allah berikan untuk umat
Islam dalam bulan Ramadhan ialah malam Lailatulqadar. Ini bererti
sesiapa
yang beribadat pada malam-malam tersebut digandakan pahala dan ganjaran
amat tinggi di sisi Allah.
Sementara itu dalam kegembiraan menyambut Ramadhan, fahamilah
sejelas-jelasnya akan hakikat dan falsafah puasa yang tersirat.
Kefahaman
ini bukan sahaja membantu kita menjalani ibadah tetapi dapat menunaikan
puasa dengan sempurna. Antaranya ialah:
Menjadikan seseorang muslim itu lebih bertaqwa kepada Allah berdasarkan
firman Allah dalam Surah al-Baqarah, ayat 183 seperti di atas dan
melalui
ayat 13, Surah al-Hujarat yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang
paling
mulia di sisi Allah ialah orang-orang yang bertaqwa."
Melatih manusia supaya bersabar menghadapi kesusahan atau bencana,
penderitaan dan juga cabaran-cabaran hidup. Kehidupan manusia memang
sentiasa dirundung cabaran dan ujian-ujian Allah. Menegaskan mengenai
cabaran di dunia, Allah s.w.t menegaskan di dalam ayat 155, Surah
al-Baqarah:
Maksudnya, "Demi sesungguhnya kami akan menguji kamu dengan sedikit
perasaan
takut dan kelaparan, kekurangan harta benda dan jiwa serta hasil
tanaman.
Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar."
Melahirkan muslim yang amanah yang merupakan sifat yang tinggi
nilainya.
Puasa melatih manusia dengan sifat-sifat amanah kerana tanpanya puasa
akan
menjadi batal atau tidak sempurna. Jika begitu, sia-sia sahaja
seseorang itu
berpuasa dan tiada faedahnya menahan lapar dan dahaga.
Melahirkan perasaan insaf dan belas kasihan serta bertimbang rasa.
Hanya
orang yang berpuasa sahaja dapat memahami atau mengetahui kesengsaraan
orang-orang miskin yang lapar dan dahaga. Melalui keinsafan, diharapkan
seseorang Muslim itu tidak keberatan untuk memberi bantuan, sedekah
atau
sumbangan kepada golongan yang tidak berada. Amal jariah sememangnya
dituntut di dalam Islam.
Sebagai senjata menahan manusia daripada melakukan maksiat dan
kemungkaran.
Tiada ertinya seseorang itu berpuasa tetapi pada masa yang sama
melakukan
perkara-perkara keji dan mungkar walaupun hanya melalui kata-kata.
Sebab itu
Rasulullah s.a.w berpesan: "Puasa itu sebagai perisai dan apabila
seseorang
itu berpuasa maka janganlah ia bercakap kotor, jangan menjerit-jerit
serta
jangan berlaku bodoh..."
Kesimpulannya, terdapat pelbagai falsafah yang tersirat di sebalik
bulan
Ramadhan yang hadirnya sekali setahun. Justeru itu, hayatilah pesanan
Rasulullah s.a.w melalui sebuah hadisnya yang bermaksud:
"Ramai di kalangan umatku yang berpuasa tetapi tiada mendapat apa-apa
kecuali lapar dan dahaga."
SELAMAT BERPUASA